Tuesday, March 1, 2011

Monolog Diri 2: KAU tahu.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.


Ya.
Bumi mana yang tidak ditimpa hujan?
Lautan mana yang tidak bergelora?
Manusia mana yang dicipta sempurna, tanpa ujian?
Insan mana yang hidupnya indah, tiada nestapa?

Meski dalam lakonan wayangpun, kita dihidangkan dengan genre drama dan filem yang pelbagai skrip lakon layarnya. Walau dalan cerita kartun itupon, ada saat susah atau payah yang dilalui oleh watak-wataknya. Begitu juga manusia.

Dan!.
Aku inikan manusia. Bukan malaikat yang tidak berjantina. Bukan jin yang tidak dilihatkan di alam nyata. Aku insan yang Allah jadikan serupa dengan dia dan mereka. Daripada titis air mani ayah bersatu di dalam rahim ibu, membesar dalam kantung yang tiada corong atau lubang udara, tetap aku membesar dengan sempurna anggota!.

Nah!. Indahkan ciptaan Illahi. Pada yang sangsi, apa lagi yang kalian cari?!.
Tapi, bukan itu bualan bicara aku di sini. Aku tidak memperkatakan tentang kamu, kamu dan kamu. Tidak juga tentang dia dan mereka itu. Aku berbahasa tentang aku. Ya, tentang aku sendiri!.

Aku membait ayat inspirasi. Agar aku kuat dan menapak kemas berhadapan warna-warna kehidupan. Aku menulis untuk aku ingatkan pada jiwa yang bergelora bahawa dalam apa juga rencana, Allah itu ada bersama. Itu yang aku cuba yakini, dengan sesungguhnya, dengan sebenarnya. Dan aku akui, ia terhasil dalam diri, keyakinan jitu tanpa belah bahagi.

Namun, sesekali menyelak tabir hati sambil menatap cermin diri, kenapa aku lihat dua watak yang berbeza?. Watak dalaman yang kental, tetapi luaran yang goyah?. Jiwa yang utuh tetapi insan yang rapuh?. Di mana sebenarnya akalku berlabuh?

Senang, tenang dan lancar lidahku berbicara.. lagipula untuk memberi kalimah percuma..
Laju.. tanpa skrip yang diperlu direka dahulu..

Sebegitu bersahaja aku menasihati orang, lantas mempraktikkan ke atas diriku. Tetapi, rasanya, adalah lebih senang mendengar cerita orang daripada cerita sendiri. Kisah orang didengar dan difahami, kisah sendiri bagaikan berduri. Bukankah?. Adakalanya jatuh rasa cemburu, apabila mereka ada aku untuk berpahat erat, sedangkan aku sendiri, hanya berpaut pada keyakinan yang kuat, Allah bersamaku!.

Ya Allah.. ampuni aku yang jahil. Aku butuh bantuan dari-Mu. Kekuatan dalam berhadapan cabaran dan godaan nafsu. Aku tidak mahu menipu. Kerana hujung jawapannya yang aku tipu adalah KAMU Ya Rabb.

Allah.. aku tahu Engkau tahu. Engkau tidak pernah jauh seperti janji-Mu. Engkau dekat lebih dekat dari urat nadiku. Ketika mataku melirik, lidahku bergerak, hatiku berdetik, Kau tahu segala makna tersurat dengan segala tafsir.

Pabila tanganku tidak kuat menadah berdoa, lidahku tidak lagi lancar berbunga bahasa, sujudku takut dan malu menyuara hasrat, aku tahu Kau tahu yang tersirat..

Apabila suara bibirku tiba-tiba menjadi bisu. Ya Rahman Ya Rahiim, dengarlah rintihan sanubariku, hatiku tidak menipu-Mu wahai Yang Maha Agung. Kau tahu itu. Bantulah aku yang mengharap sinar dan petunjuk, hanya dari-Mu.. atas rahmat, belas dan ehsan-Mu.

Bismillahi tawakaltu 'Alallah..
.