Wednesday, October 19, 2011

General : Diam sahajalah - meski ia selemah iman!.

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan Pentadbir sekalian alam.


DIAM LEBIH BAIK DARIPADA BERCAKAP!.

YA!. Kerap kata-kata itu di dengar dan disebut orang. SETUJU!.

Tetapi, jika terus berdiam.. jika semua memilih untuk berdiam, maka akan berleluasalah permasalahan demi permasalahan yang akan berlaku!. SETUJU?. YA!. Sungguh.

Jika aku tidak ditegur tentang kesalahanku, apakah aku akan sedar ianya SALAH?.
Sifat manusia, pasti merasakan APA SAHAJA YANG DILAKUKAN ADALAH "BETUL" DAN "BENAR"!.

Bukankah begitu?.

Aku ingin bersuara!. Sebagaimana aku ingin orang lain bersuara dan menegur salah laku ku.. MEMUJI boleh tolak ke tepi kerana ia adakalanya tidak membawa keuntungan sebaliknya boleh memudaratkan!.

Adakalanya, di 'kotak' kecil ini, aku mendengar pelbagai cerita di luar kawasan luas sana.. ingin sekali aku BERSUARA - menyatakan ketidak setujuan pandanganku kerana AKU MERASAKAN TIDAK PERLU IA BEGITU!.

Tetapi - sering kata2 itu hadir ~ DIAM LEBIH BAIK! ~

Aku menimbang tara - di antara kemaslahatan dan kemudaratan - yang mana lebih tinggi berat timbangannya jika AKU BERSUARA atau BERDIAM SAHAJA!.

Segera juga aku bertanya AKAL, IMAN DAN NAFSU ~ Siapa yang lebih menguasai tatkala 'kata-kata' itu ingin aku SUARAKAN?.

Adakah ia akan menurut akal yang waras demi manfaat bersama?
Adakah ia berlandaskan iman yang mahukan kemaslahatan itu terus terjaga?
Atau sekadar menurut kata nafsu yang inginkan kemenangan dan bermaharalela sewenangnya?

Aku ulang bertanya kepada diri dengan menyelami timbangan berat ketiga-tiganya..
Dengan melihat subjek perkara, juga merujuk kepada empunya diri yang perlu diberi kata nasihat itu.. dan.. jauh merenung di sudut hati yang paling dalam, aku akui, ada terselit satu rasa utk 'nafsu' - yang melebihi timbangan akal dan iman!.. yang mudarat itu impaknya lebih tinggi daripada manfaat..

MAKA!..Aku akur bahawasanya aku perlu mengaplikasikan:-
"DIAM ITU LEBIH BAIK DARIPADA BERCAKAP".

Ya.. iman aku masih lemah.. tetapi aku tidak mahu memutuskan silaturahim yang baru kembali terjalin.. juga tidak mahu membawa mudarat dalam perhubungan yang baru dibina semula serta sebolehnya aku mahukan manfaat bersama dalam persaudaraan yang mula berjinak kembali. Bukan untuk mengulangi sejarah silam, cukuplah sekadar memberi kemaslahatan dalam perhubungan sesama Islam.

Ya Allah.. sesungguhnya Kau yang lebih mengetahui.. andai nawaitu ku ini terkhilaf, maka mohon berikan petunjuk-Mu.. aku tidak mampu mendatangkan mudarat apatah lagi manfaat waima kepada diriku sendiri tanpa izin dan redha-Mu Allah..

Bantulah aku.. Ampuni aku.. redhai aku Ya Rabb.


La Illaha Illallah!.

Monday, September 19, 2011

Monolog 6 : Tawaran Itu..

Alhamdulillah..

Tawaran itu telah ku perolehi.. yang sangat ku nanti.. yang sangat ku impi..
Namun, di dalam gembira menerimanya, ada detik-detik 'kusam' yang terselit bersamanya..

Dalam hati ada rasa terkilan.. dalam hati ada rasa ingin merajuk dan marah..
dalam hati ada rasa sayu dan sedih..
Tetapi berita gembira itu tetap Allah jadikannya sebagai khabar gembira..
Dipermudahkan urusan yang berlekuk seketika di tengah perjalanan..

Namun.. khabar gembira itu 'tergantung' seketika..
Bukan paksaan atau tekanan sesiapa..
tetapi kerana kerelaan jiwa..
menanti sinar yang lebih ceria..
bersama sahabat yang setia,
dengan agenda dan rancangan bersama
yang punya impian dan cita-cita yang serupa..

untuk mendaki tangga jaya
dengan iltizam dan impian
menggapai bintang..
dalam redha Illahi..

Oh Tuhan..
Kau permudahkanlah..

Wednesday, July 27, 2011

Puisi 9 : Moga Ramadhan ini

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.



Ramadhan datang lagi..
Ingin sekali aku memeluk ramadhan ini
untuk mendapatkan bahang di hati
agar merasakan ia menghampiri
di sisi..

Ramadhan ini sudah tiba..
aku menabur janji sepenuh kata..
ingin beribadahku sesungguhnya..
Wahai jiwa...
jangan sekadar kata dusta..
yang jauh dari hasil yang nyata!..

Ramadhan bulan berkat..
Lailatul Qadar pasti mendekat
pada jiwa yang terasa rapat
pada Pencipta yang Maha Hebat..
Owh diri, mampukah kau dapat????..

Ya Allah..
Padamu aku meminta dan menyembah..
Aku insan lemah..
Moga aku mampu beristiqamah..
Menjalani segala Ibadah..
dengan rasa diri yang amat rendah..
demi redha-Mu Wahai Khaliq yang Maha Pemurah..

Moga Ramadhan ini, aku kecapi dengan indah, nikmat dan rahmat..



Subhanallah.. Alhamdulillah.. La Illaha Illallah.. Allahu Akhbar..

Friday, June 17, 2011

Cereka Kanak-Kanak 2 : Seusia Aira

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.




Aira berusia 6 tahun. Aira tinggal bersama Ibunya, seorang Ibu tunggal. Ibu Aira menyara hidup mereka dengan menjual hasil gubahan bunga-bunga yang dikarang untuk perhiasan pejabat.

Satu hari, Ibu Aira mendapat jemputan menjual gubahan bunga di tapak ekspo pertanian. Ibunya mengubah pelbagai bentuk bunga dengan cantik dan bersedia untuk dipamerkan dan dijual di tapak ekspo.

Ibu Aira mengajak Aira mengikutinya untuk menjual gubahan-gubahan bunga tersebut. Aira sangat gembira.

Sampainya Aira di tapak ekspo pertanian, dilihat begitu banyak gerai-gerai yang mempamerkan dan menjual pelbagai barangan. Daripada makanan, haiwan ternakan, buah-buahan, sayur-sayuran malah gubahan bunga seperti yang Ibunya buat juga ada.

Gerai Ibu Aira di tengah-tengah gerai yang turut menjual gubahan bunga. Cantik-cantik gubahan yang mereka gubah, secantik gubahan yang digubah Ibunya.

Orang ramai mula menapak masuk ke tapak ekspo. Aira memerhatikan gelagat sekelilingnya. Ada pelanggan yang lalu lalang, ada yang singgah bertanya harga, ada yang seperti berminat untuk beli malah ada juga yang membeli produk-produk yang dijual di tapak ekspo tersebut.

Tiba-tiba, Aira mendengar bunyi bising dari arah pintu dewan besar ekspo, dilihat ramai orang berpakaian cantik dan berbaju kot. Menurut Ibunya, itu Menteri. Menteri adalah orang besar. Menteri mesti banyak duit. Menteri mesti beli barang yang banyak. Itu yang Aira faham apabila Ibunya menyebut Menteri itu ’Orang Besar’. Aira sangat berharap agar Menteri itu singgah di gerai Ibunya dan membeli gubahan Ibunya.

Aira memerhatikan langkah Menteri dan rombongannya. Aira melihat Menteri itu membeli sesuatu di gerai buah-buahan yang betul-betul berhadapan dengan gerai Ibunya. Kemudian Menteri itu membeli pula sayur-sayuran di gerai hujung gerai buah-buahan tadi.

Apabila Menteri itu singgah di gerai Ibunya, hati Aira girang kerana disangkanya pasti Menteri itu akan membeli gubahan Ibunya. Pasti Ibunya akan memperolehi keuntungan yang banyak jika Menteri itu membelinya. Menteri dan pengikut-pengikutnya membelek-belek hasil gubahan Ibu Aira dan seterusnya berlalu ke gerai sebelahnya pula. Di gerai sebelahnya, Menteri itu membeli 2 pasu gubahan bunga. Aira berasa amat kecewa kerana Menteri itu tidak membeli gubahan Ibunya. Aira benci melihat makcik di sebelah gerai Ibunya, kerana adanya makcik itu, maka Menteri itu tidak membeli gubahan Ibunya. Begitu getus hati Aira. Aira menjadi sugul dan murung sepanjang hari.

Kekecewaan Aira berlarutan sehingga ke malam hari. Aira tidak mahu menjamah makanan. Aira tidak mahu menonton rancangan kartun kegemarannya, malah Aira juga tidak mahu mendengar jumlah jualan yang Ibunya perolehi untuk hari tersebut.

Rajuknya sangat panjang. Ibunya yang menyedari rajuk Aira bertanyakan mengapa. Aira menyatakan bahawa dia tidak mahu lagi menemani Ibunya ke tapak ekspo pada esok hari. Puas ditanya dan disoal, tahulah Ibu Aira bahawa Aira merajuk kerana Menteri tersebut tidak membeli gubahan Ibunya. Ibu Aira memujuk Aira dan mengajar Aira bersabar, berserah dan berdoa kepada Allah semoga ada rezeki mereka di esok hari sambil menunjukkan keuntungan yang mereka perolehi pada hari tersebut.

Dengan hati yang rawan dan baki sisa tidak puas hati kepada Menteri tersebut, Aira termakan juga pujuk Ibunya dan bersetuju untuk mengikut Ibunya ke tapak Ekspo pada esok hari.

Pada keesokan harinya, dengan hati yang sedikit hambar, Aira mengikuti langkah Ibunya ke tapak ekspo. Hari ini Aira tidak mahu duduk di gerai Ibunya, Aira ingin berjalan-jalan. Aira menjelajah dari satu gerai ke satu gerai sehingga ke hujung gerai dan berpatah balik sehingga sampai ke muka pintu utama.

Dalam pada berjalan perlahan, Aira terdengar perbualan dua orang makcik yang baru melangkah masuk ke dewan. Mereka tertegun dengan keluasan tapak eskpo berkenaan. Seorang makcik itu menyatakan bahawa dia tidak larat untuk berjalan jauh. Dia hanya ingin mencari gubahan bunga, tetapi kedua-dua mereka tidak tahu di mana letaknya tapak gubahan bunga.

Aira yang mendengar terus bertanya kepada kedua-dua makcik tersebut adakah mereka mahu membeli gubahan bunga. Apabila diangguk oleh makcik-makcik itu, Aira pun mencadangkan kepada makcik-makcik itu agar membeli gubahan bunga Ibunya. Makcik-makcik tersebut bersetuju dan meminta Aira membawa mereka ke tempat Ibunya. Aira dengan girang membawa makcik-makcik itu ke gerai Ibunya.

Sesampai di gerai Ibunya, Aira menunjukkan gubahan-gubahan bunga dan mengesyorkan kepada makcik-makcik itu untuk membeli gubahan bunga Ibunya itu. Alangkah riangnya hati Aira apabila makcik-makcik itu memborong sebanyak 5 pasu gubahan Ibunya dan menempah lagi 15 pasu untuk diletakkan di sebuah Sekolah. Makcik-makcik itu sebenarnya adalah Guru-Guru sekolah yang berhampiran yang ditugaskan untuk membeli gubahan bunga bagi menghias sekolah mereka.

Cikgu-cikgu tersebut kemudiannya memuji gubahan Ibu Aira dan bersetuju untuk menempah gubahan Ibu Aira pada setiap acara di sekolah tersebut. Ibu Aira sangat gembira dan memeluk Aira sambil memuji kebijaksanaan Aira yang membawa guru-guru itu ke gerai mereka. Aira sangat gembira dengan pujian tersebut. Senyumnya melebar sepanjang hari. Puas dengan keuntungan yang Ibunya perolehi dan bangga kerana dia berjaya membawa cikgu-cikgu itu ke gerai Ibunya.









Tuhanku, aku tidak layak masuk syurga-Mu, namun tidak pula aku sanggup menghadapi, siksa neraka-Mu, oleh itu terimalah taubatku dan ampunkan dosa-dosaku, sesungguhnya Engkaulah penghapus dosa-dosa besar..






.

Thursday, June 2, 2011

Puisi 8 : Wahai Anak-anak Ibu

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Wahai Anak-anak Ibu..
Wahai Anak-anak Ibu..
Ketika kau melihat matahari, usah kau gusar terik bahangnya
Rasakan panasnya yang menghangatkan tubuhmu.
Ketika kau melihat rembulan, usah kau lihat ragu tingginya di langit biru
Renungi sinarannya yang menyinari malam.
Ketika kau melihat mendungnya hujan, usah kau gentar basah bajumu
Nikmati sejuk airnya yang membawa kedinginan kepada alam.

Wahai Anak-anak Ibu.
Tatkala kau ditimpa derita, usah kau bimbang dirimu tercela
Rasakan itu sebagai peringatan dari Tuhan.
Tatkala kau difitnah dianiaya, usah kau herdik kepada si pembawa
Renungi kelemahan dirimu dan perbaiki takwa.
Tatkala musibah datang melanda, usah ditanya mengapa kau yang kena
Nikmati dengan jiwamu, ia tanda tarbiyah dari yang Esa.

Wahai Anak-anak Ibu.
Andai Ibu tersalah mengajar, maafkan ibu
Andai Ibu terlupa didik, maafkan Ibu
Andai Ibu terkhilaf bahasa, maafkan Ibu

Ibu tidak sempurna, namun Ibu mahu kalian sempurna
Ibu tidak hebat, namun Ibu berdoa kalian hebat
Bukan sempurna fizikal yang Ibu mahukan
Bukan hebat harta yang Ibu doakan
Sempurna iman dan takwa
Hebat jihad dan mujahaddah
Demi menggapai redha Allah, itulah kuncinya.

Wahai Anak-anak Ibu
Doa kalian yang Ibu dambakan,
Untuk menerangi laluan Ibu,
Dalam mengatur langkah,
Mengadap Khaliq yang Agung.

Wahai Anak-anak Ibu.
Moga redha dan rahmat Allah bersamamu
Dunia dan akhirat.

Selama nadi masih bernada
Doa Ibu tidak pernah putus
Untuk kamu, wahai anak-anak Ibu.



Laa illaa haillallah, Muhammadur Rasulullah.
Tiada Tuhan melainkan Allah, Nabi Muhammad Pesuruh Allah.




#sajak ini dinukilkan pada 2 Jun 2011




~tiny~.

Friday, May 27, 2011

General : Murah Rezeki

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Segala Puji hanya Bagi Allah, Tuhan sekalian alam.


Tak tahu bagaimana hendak menyatakannya..
terasa malu pada ALlah.. tetapi terlalu bersyukur sebenarnya..
Ujian sekelumit hama itu, dibalas dengan anugerah yang Maha Tinggi nilainya..

24 haribulan, aku trsepit, terperosok dan terhimpit jauh ke hujung pelusuk dinding..
DIAM MEMBISU MEMBATU..
Tanpa jawapan dan tanpa ikhtiar..

Dengan keyakinan yang padu.. aku lalui tabah.. dengan tenang dan dengan sabar..
Menanti rahmat kasih dan jawapan Allah.. dengan bersungguh..

Khamis malam jumaat.. usai segala solat dan yaasin.. jawapan itu didatangkan..
dengan tenang, dengan lapang, dengan mudah dan tanpa berpayah!.

Allahu... rezeki siapakah ini?
Doa akukah? Doa si ibukah?.. Doa suami atau anak-anakkah?
atau balasan kepada amalan yang Allah redhai?..

Sungguh aku tidak mampu menilai jawapannya..

Yang aku tahu... ALLAH ITU MAHA MENDENGAR DAN MENGASIHANI..
Pada-Nya sahaja aku bergantung harap dan sepenuh keyakinan..
Tanpa sangsi.. tanpa dakwa dakwi..

Owh.. ruginya mereka yang tidak meletakkan Allah dihati..
sebagaimana ruginya aku dan kami satu masa dulu..
yang memandang dunia itu terlalu tinggi.. ingin dicapai setiap hari..
apabila jatuh, terperosok ke perut bumi, langsung peritnya tidak terperi..

Sungguh janji Allah... BERDOALAH.. kerana Allah itu dekat, lebih dekat dari urat leher.. dan Dia memakbulkan apabila dikehendaki..
dan Dia memberi sebagaimana janji... dan Dia lebh tahu yang terbaik untuk hamba-Nya..

Allah..
aku laungkan kalimah yang terpendam di jiwa dan sanubari..
AKU SAYANG ALLAH..
AKU RINDU ALLAH..
AKU CINTA ALLAH..

biar seisi alam mengejek..
aku lebih tahu..
rasa kasihku pada-MU Allah...

Wahai Rasulullah pujaan kalbu..
terima kasih atas usahamu yang tak pernah jemu..
membawa Islam kepada aku, keluargaku dan keturunanku..
aku mohon dipermudahkan Allah akan janjitemu
di telaga khautsar, aku harap kau menungguku umatmu..
dan aku mohon syafaatmu Ya Nabi Allah..

Allah.. adanya Iman, Islam dan Ihsan..
Aku tahu aku ada Kamu..
dan aku tahu ajaran Rasulku itu benar..
dan aku tahu.. pengakhiranku nanti pasti bertemu-Mu dengan abadi..

Terimalah aku sebagai hamba-Mu yang beriman..
Redhailah aku dan masukkan aku bersama senarai golongan hamba-Mu yang beramal soleh..

Anugerahkan kehidupan dan kesudahan yang baik kepadaku..
Anugerahkan rahmat dan redhamu kepadaku..
Dunia dan Akhirat..

Sesungguhnya.. Solatku, Ibadahku, Hidupku dan Matiku..
Hanya untuk Allah.. Tuhan sekalian alam..

Ya Allah.. janganlah kau bolak-balikkan hati kami setelah Kau luruskannya.. Jika kotor hati kami, Kau gantikanlah ia dengan hati yang bersih dan pimpinlah ia dengan keimanan dan ketakwaan. Ameen.

Redhai aku Allah.. hanya itu yang aku mohon dari-Mu..
melengkapkan perjalananku sebagai umat Nabi Muhammad Sallallahu 'alahi Wassalam serta sebagai hamba-Mu.. Ameen.


La illaha illa anta.. subhanaka inni.. kuntu minadzaalimin..
"Tiada Tuhan melainkan Engkau Allah, maha Suci Engkau, sesungguhnya aku ini dari golongan yang zalim".


Subhanakala 'ilmalana.. illamaa 'al-lamtana.. innakaantal'alimul hakiim.
"Maha Suci Engkau, tiada pengetahuan bagi kami kecuali apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami, sesungguhnya Engkau maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana".

.

Monday, May 16, 2011

Puisi 7 : Puisi Untuk Guru

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Guru..
Andai terik panahan mentari..
Seterik itulah kegigihanmu membuka minda dan jiwa kami..
Andai terang sinaran suria..
Seterang itulah jalan ilmu kau damparkan sebagai laluan sukma..
Andai memancar cahaya matahari..
Pancaran itulah yang kau suluh denai kehidupan kami..
Agar berbekal ilmu, iman dan amal..
Agar berkalung bijak, akal dipakai..
Agar bersahut cerdik, melepas bebal..
Agar bersulam santun, mengukuh budi..
Agar bertutur pandai, dalam tingkah, dalam kata..

Guru..
Murni budimu sering diherdik
Namun kau tak pernah serik..
Luhur kasihmu sering dinista
Namun kau tak pernah putus asa...
Suci imanmu sering disalah tafsir
Namun kau tak pernah menyalah takdir..

Kesungguhanmu sering dipersia
Namun ikrarmu, kau teruskan jua..
Demi jiwa yang perlu kau bangunkan..
Demi manusia yang perlu kau insankan..
Demi amanat yang perlu kau tunaikan...
Demi tanggungjawab yang perlu kau lunaskan...

Kau tidak pernah mengalah...
Meski sering dituntut beralah..
Demi cita-cita perjuanganmu..
Demi anak bangsa yang bakal memimpin Negara
Demi umat yang perlu menggerakkan Agama..
Dan.. Demi kesinambungan insan meneruskan ketamadunan manusia..

Terima kasih Guru..
Tiada ucapan yang mampu membalas jasa..
Hanya kepada Yang Khaliq, ku tadahkan doa..
Semoga dipermudahkan urusanmu di dunia..
Serta dibuka pintu Syurga untukmu 'sana'..

Berbahagialah wahai guru..
Walau dimana kau berada..
Budimu, ku junjung tinggi.....

Al-Fatihah untuk semua para Guru!.

Subhanallah. Alhamdulillah. Laillahailallah. Allahu Akhbar.




.

Thursday, April 28, 2011

General : Ayat-Ayat Cinta

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

AYAT-AYAT CINTA

(Lirik Lagu tema : Ayat-Ayat Cinta)

Desir pasir di padang tandus
Segersang pemikiran hati
Terkisah ku di antara cinta yang rumit

Bila keyakinanku datang
Kasih bukan sekadar cinta
Pengorbanan cinta yang agung
Ku pertaruhkan

Maafkan bila ku tak sempurna
Cinta ini tak mungkin ku cegah
Ayat-ayat cinta bercerita
Cintaku padamu

Bila bahagia mulai menyentuh
Seakan ku bisa hidup lebih lama
Namun harus ku tinggalkan cinta
Ketika ku bersujud

Bila keyakinanku datang
Kasih bukan sekedar cinta
Pengorbanan cinta yang agung
Ku pertaruhkan

Maafkan bila ku tak sempurna
Cinta ini tak mungkin ku cegah
Ayat-ayat cinta bercerita
Cintaku padamu

Bila bahagia mulai menyentuh
Seakan ku bisa hidup lebih lama
Namun harus ku tinggalkan cinta
Ketika ku bersujud

Ketika ku bersujud


Ya Rabb.. sungguh.. aku mohon pengampunan-Mu..
Kerana membahagikan dan mencurangi cinta-Mu.
Betapa Ya Allah, Kau tidak pernah meninggalkan aku walau sesaat..
Tetapi, aku... sering leka dari mengingati-Mu berkurun lamanya..

Aduhai hati..
Besar sangatkah cinta makhluk dan cinta dunia yang kau dambakan
Hingga leka pada cinta Agung yang setia di sisi..
Yang dekat sedekat urat nadi di leher
Yang tak pernah berlalu meski aku sering terkeliru
Wahai Zat Yang Maha Agung
Aku hamba-Mu yang ingin sangat merasakan cinta itu
Cinta, kasih dan sayang yang tulus untuk-Mu
Tetapi aku malu... sangat-sangat dan sungguh-sungguh malu
Mengenang dosa dan jahil yang bertepu
Dalam kitab hisab yang hanya Kau Yang Maha Tahu..

Allah..
Aku sayang Kamu
Aku rindu Kamu
Aku CINTA PADA-MU..

Semoga cinta ini makin subur, bercambah dan mekar.
Meski aku tahu adakalanya hati aku engkar
Kerana terpana dengan nafsu yang mekar
Dan hasutan iblis laknat yang segar
Yang ingin membawa ke kancah hina
Aku aku hanyut dengan janji autanya!.

Tidak Allah.. TIDAK..
Aku tidak inginkan neraka
Meski aku hamba-Mu yang berdosa..

Ya Rab.. PILIHLAH AKU...
Aku ingin menyambut kitab hisabku dengan tangan kananku..
Dengan senyum dan berlalu pantas
Merasa nikmatnya syurga-Mu yang tanpa batas..

Allahu Rabbi
Aku dambakan syafaat Rasul-Mu
Dan aku mohon hanya redha-Mu
Redhai aku.. Ya Khaliq..

Ameen Ya Rabb..


Allahu Akhbar!.



.

Monday, March 28, 2011

Puisi 6 : Jangan Di Balas.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi maha Penyayang

Haish...
Siapa dia?
Kenapa dia?
Apa masalah dia?

Rasanya BUDAK lagi kot..
Yang baru bertatih utk kenal dunia
Dan baru ingin memahami dan mengenali agama..

Lantas dibaca maklumat dengan mata yang satu
Tanpa mahu dicerna menjadi ilmu
Kerana menurut bisikan nafsu
Hasutan Iblis yang datang menghimpit
Menekan jiwa menjadi sempit..
Maka itu hatinya kabur
Kerana terasa diri dah betul
Membuka pekung manusia menabur
Pandangan nista dan kata takbur

Cukuplah hati usah melawan
Jangan diturut nafsu syaitan
Cukuplah iman usah berbahas
Katanya usah dibalas
Pandanglah dengan belas

Semoga Allah membuka hijab
Yang batil dan benar bisa terjawab
Bukan untuk memenangkan sesiapa
Hanya mohon ditenangkan jiwa
Dilapangkan dada oleh Yang Esa...

Wahai Allah yang empunya hukum..
Ya Hakam.. Ya Hakam.. Ya Hakam.. Ya Hakam.. Ya Hakam..
Sesungguhnya, hanya Kau yang faham..
Bukan kami,
Makhluk-Mu yang sering berpandangan serong
Iman dan nafsu datang membondong
Tapi sering juga kami terpesong
Lantas lidah lancar berbohong
Terleka syaitan yang melancarkan perang
Iman di jiwa cuba diserang
dengan pujian pada akal dan emosi yang melayang..
terbang!!.

Ampunkan kami Allah.. Ampunkan kami...
Kami mohon hanya redha-Mu..
Redhai kami Ya Rabb..
Redhai kami... Ameen.



Hasbunallah Wani'mal wakil.. Cukuplah Allah sebagai Penolong dan Dialah sebaik-baik Pelindung. Allahu Akbhar!.

.

Sunday, March 27, 2011

General : Senyum itu penawarnya!

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Dengan nama Allah yang Pengasih lagi Maha Penyayang.




Benar seperti saranan Rasulullah.




Jika berdiri dalam keadaan marah, lakukan beberapa gerakan posisi sehingga amarah itu hilang dan kembali senyum dengan senang.


Jika berada dalam ujian resah, kembalikan gundah kepada Allah, dan pandang hikmah yang disediakan dan kembali senyum dengan tenang.


Jika dalam kondisi buntu, rujuk Al-Quran kalam suci Allah dan hadis Rasulullah sebagai penerang jalan dan penyembuh jiwa dan kembali senyum dengan lapang.






Benar.. senyum itu penawar.


Senyum di kala marah, minda akan senang.


Senyum di kala resah, hati akan tenang.


Senyum di kala buntu, jiwa akan lapang.


Senyum itu penawar anugerah Allah..






Semoga Allah menerimaku dengan senyuman..


Semoga Rasulullah menantiku di telaga kauthar dengan senyuman.. Semoga redha Allah ku perolehi dengan senyuman..






Allah.. aku mensyukuri nikmat rahmat-Mu kerana bisa membuatku tersenyum.. Senyuman dari jiwa.. kudus untuk-Mu Ya Rabb.. Ya Khaliq yang agung..


Terima Kasih Allah.




Aku Sayang Allah...



Aku Rindu Allah...



Aku Cinta Allah...





Laa Tahzaan.. Innallaha Ma'ana.


Jangan Bersedih, Allah sentiasa bersama.




.

Wednesday, March 23, 2011

Monolog 5 : Azam istiqamah!.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.



Firman Allah, bermaksud:
"Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut dengan bala bencana yang membinasakan, maka mereka pun berputus asa dari mendapat sebarang pertolongan". (Al-Quran Surah Al-An’aam 6 : ayat 44)



Mengenangkan janji dan amaran Allah itu, aku jadi terkesima dan terkedu!. TAKUT sebenarnya!.

Merenung jauh ke dasar diri, yang ketika, saat dan masa ini, di uji Allah dengan ujian SUKAR, maka itu, aku terasa sering hampir dengan Allah, terasa sering diperhati oleh Allah, serasa seakan sering ditarbiyah Malaikat melalui ayat-ayat Al-Quranul Karim milik Allah!.


Tetapi... sungguh! Ayat tersebut benar-benar menjadi tamparan besar untukku... BIMBANG!. Bimbang jika Allah menarik ujian "SUSAH" ini dan menggantikannya dengan ujian "SENANG" atau lebih-lebih lagi UJIAN MEWAH.

Aku bertanya diri.. jika ujian itu HADIR KELAK:

~ ADAKAH AKU MAMPU TERUSAN BERISTIQAMAH DENGAN APA YANG AKU PERLAKUKAN KETIKA INI, MALAH MENJADI LEBIH BAIK DARI HARI INI... MAMPUKAH AKU MENERUSKAN AZAMKU KEPADA DIRIKU YANG DISAKSIKAN ALLAH SERTA DICATAT DEK MALAIKATNYA, BAHAWASANYA AKU MENGINGINKAN UNTUK MENJALANI KEHIDUPAN YANG ZUHUD SEPERTI YANG AKU CATITKAN DI LEMBARAN KERTAS JANJIKU YANG KU SEMAT DI JIWA?~

BENAR AKU BIMBANG!..

Bimbang aku LALAI dan LEKA.. serta LUPA...

"Wahai Dzat yang Maha Sempurna.. Wahai Tuhanku yang menguasai seluruh jagat raya.. Wahai Allah yang Maha Agung... Aku hamba-Mu wahai Tuhanku.. yang mengharap ehsan dan belas-Mu, setiap saat, setiap masa dan setiap ketika. Ujian-Mu ini ku tempuh dengan redha. Tolong Ya Allah.. tolong perhatikan aku setiap saat dan masa. Tolong jangan biarkan aku tergelincir dari orbit islam-Mu yang mulia ini. Terimalah hamba-Mu ini. Redhailah kami Ya Waaliy. Janganlah Kau bolak-balikkan hati kami setelah Kau luruskannya wahai Ya Khaliq, Yang Maha Pengasih lagi Maha Mengasihani. Wahai Rabb yang Agung, Yang Maha Menerima Taubat. Lindungi diri kami, iman kami dan perjalanan kehidupan kami dunia dan akhirat. Berkati kami. Izinkan kami mendapat syafaat Rasul Junjungan kami Nabi Muhammad Sallallahu 'Alahi Wassalam di sana kelak. Mohon perkenankan doaku Allah.. Ameen".




Hasbi Rabbi Jalallah.. Maafiqalbi qairullah.. Nur Muhammad Sallallah.. Nur Muhammad Sallallah.. Laa illaa haillallah.
~Cukuplah Tuhan bagiku, Allah Maha Agung. Tiada di dalam hatiku, kecuali Allah. Cahaya Muhammad, selamat atasnya. Tiada Tuhan melainkan Allah~


.

Friday, March 18, 2011

General : Teka-Teki.

Ada satu lubang. Lubang ini sentiasa ada. Ia tertutup tetapi juga terbuka. Di awalnya ia penting, tetapi kemudiannya tak siapa peduli. Cuba cari apakah ia dan di manakah ia.





. Jawapannya ~ PUSAT. - Masa awal kejadian (bayi), lubang inilah saluran makan utk bayi.. tapi bila dh besar, sapa pun tak heran kat lubang pusat.. tapi, kalau tak ada pusat, boleh hidup ke manusia itu?. hmmm... hihihihi.

















.

Wednesday, March 16, 2011

Anak-anakku 1 : Kisah GPS

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.



Situasi ~ Dalam kereta.
Penumpang ~ Abah, Ibu dan Anak
Destinasi ~ tempat yang biasa di tuju.
GPS ~ Penunjuk arah yang di ‘ON’kan!.


Anak : Abah, kita nak pergi rumah maklong kan?.

Abah : Iya lah.

Anak : Habis tu, kenapa abah pasang GPS?. Takkan abah tak tahu jalan rumah maklong?.

Abah : Saja je.

Ibu : (nak perabih bateri je tau! – merungut dalam hati, namun berdiam diri).

...........

Anak : Eh, abah nak ke mana?. Dia cakap ’go straight’, tapi kenapa abah ’kona’ sini?.

Abah : Abah tahu ’short cut’, dia bawak tu jalan jauh (highway).

Anak : oooo

Ibu : (dah tu, nape yang nak pasang? – merungut dalam hati, tapi masih diam).

.............

Anak : Eh, dia ’suruh’ masuk lorong tu la abah?. Biar betul?. Ada jalan ke? Masuk nak abah?.

Abah : Malaslah. Nanti entah ke mana-mana di bawaknya.

Ibu : hempphh.. (baik OFF je GPS ni, kalau dah tahu taknak pakai – merungut dan mula merengus)

.............

Anak : Eh, abah. Dia suruh ikut lorong ni pulak la. Sama macam lorong tadi jugak.

Abah : Taknaklah. Mustahil ada jalan kat lorong belakang tu.

Ibu : Try je la, mana tahu ada jalan yang kita tak tahu. Dah tu apa guna pakai GPS kalau taknak ikut (ada sedikit macam nak pulang paku buah keras).

Abah : (menurut walau nampak macam bengkeng je..)

Anak : Eh eh.. betul betul short cut la Ibu.. tak payah lalu traffik light banyak-banyak depan kat sana tu. Dah pun sampai. Pergh... terror la.

Ibu : Hah. Dah memang GPS ni di’set’kan untuk cari jalan mudah. Kita (yang sengaja ditekankan) yang sengaja nak cari jalan susah. Yakin sangat dengan ’jalan’ yang kita tahu, tapi rupanya ada jalan lain yang lagi bagus. Kalau dah tahu bagus, tak payah pakai GPS nih!.

Anak : Iya lah Ibu. Dah pun sampai. Best la guna GPS nih.

....................

Ibu: Maka itu, ini yang Ibu hendak sampaikan wahai anakku.

Mudahkan ada GPS?. Begitulah hidup kita.

Perjalanan hidup kita seumpama laluan ke destinasi yang kita hendak pergi. Kita tahu arahnya, kita tahu mana jalan jauh dan jalan dekat. Kita tahu lorong betul dan lorong salah.

Sebaik dilahirkan dan dianugerahkan akal yang mampu berfikir, kita yakin bahawa matlamat akhir kita adalah SYURGA ALLAH.

Tapi, dek kerana terasa 'pandai' dengan secalit ilmu yang kita ada, kita redah setiap lorong dan arah, yang adakalanya membawa kita ke jalan yang salah. Tetapi, TETAP!, Allah itu Maha Pengasih, masih ditunjukkan kita jalan yang membolehkan kita sampai ke destinasi yang kita inginkan. Masih lagi diberi hidayah dan peluang untuk kita bertaubat dan kembali ke jalan yang benar, yakni jalan yang Allah redhai. Dengan TAUBAT! dan KEMBALI KE PANGKAL JALAN!.

Namun, adakalanya apabila hidayah itu datang, tetap kita seakan meragui malah ada yang menolaknya. Maka itu, kena pandai buat pilihan. Pilih kawan atau orang yang mendorongmu ke arah kebaikan, bukan ke arah kesesatan. Belajar semula. Bertanya pada yang benar-benar tahu!.

Rumah maklong itu ibu ibaratkan sebagai Jalan Kebenaran (Syurga Allah), bermaksud, kita tahu destinasi, ke mana hala tuju kita.

GPS itu ibu ibaratkan sebagai Al-Quranul Karim dan Sunnah Rasulullah ~ panduan kita yang segalanya telah tercatat di dalamnya. Adakalanya kita rasa TAK PERLU kerana kita telah ada ILMU itu, tetapi, ketahuilah anak-anakku, ilmu kita TAKKAN PERNAH CUKUP. Jangan jemu kembali merujuk Al-Quran dan Sunnah Rasulullah serta berguru dengan yang berilmu!.

Justeru itu, jika kita rasa kita sudah cukup bagus, jawapannya TIDAK wahai anakku.
Kita tidak pernah akan bagus. Dan kita tidak pernah akan sempurna. Sebab itu fitrah manusia. Maka itu kita dijadikan Allah sebagai manusia, makhluk yang cukup istimewa ciptaan-Nya.

Gambaran sikap abah ~ itulah kita semua wahai anak-anakku. Memang fitrah manusia, kita ini perasan pandai, perasan bagus, adakalanya kita terlalu taksub dan takbur dengan ilmu yang kita ada sehingga kita tidak merasakan bahawa ada ilmu lain yang lebih baik daripada ilmu pengetahuan kita.

Melencong dari arah yang ditetapkan ~ itu juga fitrah kita. Yang sering terpesong jalan hidup, yang sering kecundang dalam melalui perjalanan hidup yang panjang. Maka, kembalilah kepada kebenaran. Kepada jalan Allah dengan merujuk kembali Al-Quran dan Hadith Rasulullah.

Gambaran sikap anak ~ itu adalah dirimu anakku. Yang masih nai’ve dan mentah. Yang tidak tahu apa yang betul dan yang salah. Yang menjadikan kami, ibu bapamu sebagai panduan dan rujukan. Tetapi, ketahuilah anak-anakku, jika keliru dengan tunjuk ajar atau pegangan yang bertentangan dengan pengetahuanmu, kembali kepada Al-Quran dan Al-Hadith.

Gambaran watak ibu ~ ibu itu adalah manusia yang sentiasa inginkan anaknya dalam keadaan baik, menjalani kehidupan yang baik dan mendapat pengakhiran yang baik. Meskipun adakalanya ibu juga salah, ibu juga tidak sempurna anakku. Ada nanti kau akan temui, insan-insan yang amat mengambil berat akan dirimu, yang mahu kau mengikuti jalan yang betul dan yang inginkan kebaikan kepada dirimu, meskipun kau mungkin akan terasa hati dengan cara, gaya dan tegurannya. Ikutilah, yang memberi manfaat dan yang menegurmu untuk kau beramal maaruf dan menolak kemungkaran!.

Ingat anakku, adakalanya yang pahit itulah penawar, yang manis itulah racun. Kebahagiaan abadi adalah denganmengikat janjimu di jalan Allah. Mengikat hatimu sebagai pencinta Allah, penyanjung Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam.

Jangan mudah menilai dan membuat keputusan berdasarkan mata.. tetapi rujuk kembali kepada pegangan yang kita percayai dan mohon terus kepada Allah Subha nahu Wata’ala.. sesungguhnya Allah sahaja sebenar-benar tempat mengadu dan meminta pertolongan.

Dan.. sekiranya kalian benar-benar 'tahu' menggunakan GPS itu, kalian akan tahu betapa mudahnya menempuh perjalanan kehidupan.. meskipun ia berliku dan bercabang arah.

Kembali kepada YANG SATU.. kembali kepada Allah.. kembali kepada rujukan utama yakni Al-Quran dan hadith. Cari ilmu yang benar!.

Ikuti lorong kehidupan yang betul berasaskan syariat islam sebagai jalan hidup!. Ibu sentiasa doakan yang terbaik untuk kalian.. wahai anak-anak Ibu!.



Ibu sangat berharap agar kalian mengerti dan mengambil iktibar daripadanya!.





"Ya Allah. Cukupkanlah aku dengan rezekimu yang halal (sehingga aku terhindar) daripada yang haram. Kayakanlah aku dengan anugerah-Mu (sehingga aku tidak minta) kepada selain Engkau" (Riwayat Al-Tarmizi).

Innalillahi wainna illaihi raajii'uun.



.

Tuesday, March 15, 2011

Monolog 4 : PERCAYA!.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.


Percaya kepada Allah..
Percaya kepada kebenaran janji Allah..
Percaya kepada keperkasaan Allah..
Percaya kepada firman-firman Allah..
Percaya kepada “Kun Fa Ya Kun” kata Allah..

Sungguh.. aku percaya dan sangat yakin..
Allah itu Maha segalanya..
Asmaul-Husna itu pelengkap diri-Nya..

Sedikit sahaja ujian-Nya.. apabila sujud menyembah-Nya, apabila meminta kepada-Nya, apabila kembalikan segala rasa kepada-Nya.. apabila redha dengan-Nya..
Maka, kemudahan itu tersedia dengan kekuasan-Nya.. dengan izin-Nya.. dengan limpah kurnia dan kasih sayang serta rahmat-Nya..

Berani menidakkan keagungan Allah??.. TIDAK!!!.. Sungguh aku tidak berani..

Malu.. jika masih menyangkal kemuliaan rahmat dan kasih Allah..

Peristiwa tahun ini sangat-sangat memberi pengajaran kepada kami berdua (khususnya)..

Peristiwa tahun ini sangat-sangat menuntun aku untuk mengenang budi saudara-saudara..

Peristiwa tahun ini sangat-sangat memberi impak kepada aku agar lebih SEDAR DIRI.

Peristiwa tahun ini sangat-sangat aku akui kebesaran Allah itu meliputi sekalian alam.

Allah Maha Mendengar. Maha Menerima Doa.

Aku syukur.. aku bangga.. aku redha... menyintai dan menyayangi Allah (meski masih ada ruang iman yang rompong yang perlu aku baiki.. meski tingkat takwa itu perlu lebih gigih aku daki)..

Aku terharu, aku kagum.. aku ingin meneladani Rasulullahi Sallallahu 'Alaihi Wassalam, Rasul junjungan mulia yang sangat aku rindui. Terima kasih Rasulku, kerana 'memperkenalkan' Allah kepada kami, umatmu..

Terima kasih Allah, kerana menjadikan kami hamba-Mu yang mengenali-Mu.

(meski masih ada keculasan dan kekhilafan, namun, aku adalah hamba-Mu.. Ampunkan aku Allah.. ampunkan aku.. terimalah taubatku.. dan aku mohon akan redha-Mu.. redhai aku.. redhai kami semua.. ameen.. )

Note: Hati terdetik rindu.. untuk bersama Rasul memberi dan menjawab salam Illahi.. SUNGGUH!!..



Tubna ilallah, wa raja’na ilallah, wa nadimna a’la ma faalna.

Astaghfirullah, Astaghfirullah. Astagfirullah.
Astaghfirullahal 'azhiiim.. Allazi la illahailla hu wal hayyu qayyum wa atubu ilaih.
.

Monday, March 14, 2011

Monolog 3 : Ujian-Mu yang ini!

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

"Terkedu" seketika (tapi tak le panik sangat sebenarnya), entah ke mana hilangnya rasa cemas, risau, gundah dan gulana.. hahaha.

Rasa itu bertukar kepada rasa lucu, rasa geli hati, lantas mengukir senyum sambil lidah mengalun syukur kerana diberi ujian sebegini.

Untuk siapa, kepada siapa dan apa isi pengajaran yang diperolehi?. Aku tujukan kepada diriku sendiri. Tanpa mahu menunding jari (meski ada rasa terkilan dan tercarik di sudut penjuru hati), langsung aku takmau fikir dan kenang.. biarkan melayang dan menghilang... sebagaimana aku harap agar segera selesai untuk hari ini!.

Lucu?.. Ya.. benar-benar lucu sebenarnya.
Tenang?. Ya.. ketenangan dan kemudahan itu Allah yang berikan..

Lantas..
"YA ALLAH...
Hamba-Mu ini menadah tangan mengucap syukur..
Ujian dan kemudahan itu Kau datangkan serentak.
Terima Kasih Ya Tuhanku Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani".

Cerita tempe yang didengar di corong radio pagi tadi tiba-tiba timbul..
Buatkan aku gelak kecil dan tersenyum sumbing..
hahahahahaaa...

Sungguhla.. rencana Allah sangat HEBAT..
Kepada setiap hamba-hambaNya...
Alhamdulillah..

Terima kasih Allah..

Pagi itu.. kejadian yang sgt lucu berlaku.. hahahaha...


Ya Hayyu Ya Qayyum.. La hau la walla qu wata illa billah..
La illahailla anta, subhanaka inni kuntu minadzzaalimiim.
.

Friday, March 11, 2011

Puisi 5: Ku mohon ma'rifat

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Dengan Nam Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.


Kita takkan pernah tahu
Siapa di sisi apabila perlu
Masalah tak pernah berlalu
Hati manusia sering tertipu
Dengan karenah dan cerita palsu
yang puncanya dari NAFSU!.

Kita ada ALLAH
Itulah sebesar hikmah
Kalam suci menjadi panduan
Buat akal yang hilang pegangan
agar kembali ke pangkal jalan
Tidak lelah di himpit ujian..

Ya Muhammad Rasul junjungan
Sunnahmu iktibar dan pedoman
Meneladanimu itu janjiku
Dalam menyelusuri arus waktu
dalam doa lafas kudus
mengharaf ma'rifat mulus
agar tidak tertimbus
ditelan arus..

Allahu Rabbi
Sujudku pada-Mu Illahi
Kau menjawab segala doa kami
Rintihan didengari
Tasbih difahami
Kasih-Mu dekat dijiwa
Padaku yang sering berdusta..

Mudah Kau rungkai masalah dunia
Melepas resah aku yang hina
Betapa naluriku ingin bersuara
Walau malu setebal rupa
Untuk berkata
Sesungguhnya aku terlalu cinta
kepada Allah dan Rasul-Nya..

Benar Allah..
Aku cinta, kasih dan rindu..
kepada-Mu dan Rasulku..
Dengan setulus jiwaku..
(meski masih ada ruang dan jurang!.. gigih ku usaha perbaiki tingkah dan langkah!)



Alhamdulillahirabbil 'alamin.
Wassalati wassalam 'alaasyrafil an'biya' iwal mursaliin.
Allahummassali ala Muhammad. Wa 'ala alihi waashabihi ajmaiin.

Tuesday, March 8, 2011

Dialog 2 : Kembalikan!.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Selepas perjumpaan dengan rakan-niaga, abang rehat di ruang tamu atas. Dengan wajah agak kelat dan pekat, terbit cerita perbualan dia dan rakan-niaganya.. Aku seperti biasa, menjadi pendengar setia..

Abang : Leen.

Aku: Ya.

Abang: Abang nak tanya Leen sesuatu nih.

Aku: Apa dia.

Abang : Leen rasa macam mana?. Kata-kata kawan abang tadi, buatkan abang terfikir, betul ka apa yang abang buat ni?. Atau Leen sebenarnya ada pandangan atau Leen ada nak cakap yang memang apa yang kawan abang cakap tu ada betulnya.

Aku: (menarik nafas panjang.. berkira-kira dengan ayat yang hendak dituturkan!). Apa pandangan Leen eh?. Abang nak pendapat yang macam mana? (aku senyum je.. hihihi)

Abang : Iya lah, apa-apa yang Leen rasa la.

Aku: Sebenarnya kan abang.. Salah soalan abang tu!.

Abang : Maksud Leen?

Aku: Sekarang ni, abang keliru. Abang confuse dengan diri abang dan dengan keputusan abang. Abang tak boleh tanya Leen, sebab bukan Leen penentu kehidupan abang.

(berpaling dari mengadap wajahnya – cuba menyeka gugup dan sebak – aku mesti kuat di saat suami hampir goyah!...)

Aku: Kalau abang tanya Leen, jawapan leen mungkin bias, berat sebelah. Leen mungkin akan suruh abang pilih mengikut kehendak dan citarasa Leen, sedangkan apa yang Leen hendakkan itu mungkin bukannya yang terbaik untuk abang, juga mungkin bukan yang terbaik untuk kehidupan kita, untuk masa depan kita juga tidak untuk kebaikan dalam agama pada diri kita. Mungkin juga, jalan yang Leen nak abang lalui itu tidak akan memberi manfaat kepada Abang atau kepada kita semua, hanya kepada Leen sahaja. Segalanya mungkin.

Abang : Habis tu?. Apa yang abang nak buat sekarang?.

(jelas kegusaran, kesedihan, kelelahan, kesangsian serta kebingungan merajai jiwanya, sehingga terbit di alur mata dan birai bibirnya..)

Aku: Abang. Kembalikan kepada Allah. Kembalikan semua rasa, semua resah, semua gundah, semuanya... kepada Allah. Sungguh!. Kembalikan semula kepada Allah. Bukan kepada Leen yang patut abang tanya, bukan juga kepada diri abang atau kepada sesiapa. Tanya kepada Yang Maha Agung, Maha Pencipta.. Yang Mengetahui serta Maha Sempurna. Tanya pada Allah. Dia takkan mengecewakan kita.

Abang : (diam).

Aku: Leen tahu abang confuse. Itu tandanya Allah dekat dengan abang. Kita kan yakin Allah itu sentiasa bersama kita. DIA dekat, malah lebih dekat dari urat nadi kita sendiri. Bukankah?. Leen sendiri jauh dari abang.. jarak 2 bangku kedudukan kita.. Maka, siapa yang lebih hampir???..

Abang : (diam lagi)

Aku: Abang jangan serabutkan kepala abang untukmencari jawapan. Sekarang ni, apa ada dalam fikiran abang?. Apa yang abang fikir abang nak buat? Apa pilihan yang abang ada?.

Abang : (ingin menjawab)

Aku: Nanti. Jangan bagitau Leen. Leen taknak tahu. Sebab itu mungkin akan mempengaruhi keputusan abang.. kekalau abang bagitau Leen tapi Leen mungkin tak setuju atau setuju.

Abang : Habis tu?

Aku : (tersenyum).. Macam ni bang.. (aku menarik nafas, menyusun ayat agar tidak ada yang terasa hati..)

Aku : Lepas isyak ni, abang berkhalwatlah dalam bilik tu.. rasai kehadiran Allah serta malaikat-malaikat-Nya. Kenangi Rasulullah yang merindui kita saban ketika. Rasakan dengan jiwa. Abang buatlah solat sunat taubat 2 rakaat, solat sunat hajat 2 rakaat, solat sunat istikharah 2 rakaat. Buat dengan sungguh-sungguh. Hayati setiap makna perkatan demi perkataan, ayat demi ayat terutamanya surah Al-Fatihah tu. Dan mohonlah petunjuk dan hidayah Allah. DIA memang menunggu kita untuk berdoa kepada-Nya kan?!. Maka itu, sujudlah dan minta lah pada Allah. Abang akan dapat jawapannya, tidak esok, lusa, takpun, bila-bila yang DIA akan bagi nanti..

Aku : Abang ingat tak ceramah Ustaz tu?. Katanya, kalau Allah tak bagi jawapan pada kita, bukan sebab DIA tak jawab pertanyaan kita, tapi sebab DIA nak bagi yang lebih baik untuk kita atau paling tidak, DIA simpan untuk bekalan akhirat kita.

(perlahan aku turun membawa anak-anak ke bawah... membiarkan suami menenangkan mindanya yang berserabut, jiwanya yang bercelaru...)

Allah, kami bersyukur dengan ujian-Mu.. kami tahu ENGKAU sayangkan kami.. ENGKAU perhatikan kami.. dan ENGKAU menanti doa kami..

Terima kasih Allah..

AKU SAYANG ALLAH...
AKU RINDU ALLAH...
AKU CINTA ALLAH..

Allahummassoli a'la Muhammad Wa'ala alihii wasahbihii ajma'iin.


Rabbi ad qilni mudqala sidqi.. wa aqh rijni muqhraja sidqhi.. waj’alli minlladu(n)ka sultthonan nasyyiira...

"Oh Tuhanku, masukkanlah aku daripada pintu kebenaran, dan keluarkanlah aku daripada pintu kebenaran juga, dan kurniakanlah bagiku daripada-Mu seorang penolong".


Friday, March 4, 2011

Puisi 4 : Wadah untuk Anak

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.


Anak
Ibu sediakan wadah ini untukmu
Jika nanti Ibu lupa, leka atau tidak lagi mampu
Menutur nada dengan madah
Menyampai hujah dengan khutbah
Membait ayat untuk ditarbiyah...
Maka ambillah setiap kisah ini
Yang Ibu susun dengan hati
dengan jemari yang menari tidak berhenti
Untuk kau isi di sudut sanubari
dalam menyelusuri aturan Illahi.



Laa illahailla anta Subhanaka inni kuntu minadzaalimiiin.


.

Thursday, March 3, 2011

Cereka Kanak-Kanak 1 : Anak Merbah yang Degil.

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.


Di dalam sebuah hutan rimba di hujung Kampung Setia, tinggal pelbagai jenis binatang di antaranya gajah, rusa, harimau, kancil, juga unggas-unggas. Terdapat juga pelbagai specis burung yang menarik. Ada burung merpati, burung merak, burung merbah, burung kelicap, burung pungguk, burung kenari, burung gagak dan banyak lagi.

Pada suatu pagi terdapat sekawan burung merbah sedang terbang mencari makanan. Mereka kemudiannya hinggap di pohon rang-rang sambil menikmati buah-buah rang-rang yang masak ranum.

Dalam pada mereka asyik menikmati buah rang-rang yang enak, seekor anak merbah bersuara, “Hey kawan-kawan, hampir setiap hari kita makan buah rang-rang ini. Tidakkah kalian rasa bosan dan ingin merasa makanan lain pula?”

Terkejut dengan pertanyaan itu, seekor merbah dewasa berkata, “Hai anak merbah, apakah yang kamu maksudkan?’.

Anak merbah menjawab, “Saya teringin hendak merasa makanan lain pula. Saya dengar ada sekawan burung gagak menceritakan bahawa mereka begitu gembira dapat memakan banyak gandum dan beras yang terdapat di kampung di luar sana itu. "

Mendengar perkataan anak merbah itu, si merbah dewasa sangat terkejut dan berkata, “Wahai anak merbah, jangan sesekali engkau berkeinginan untuk keluar daripada hutan ini. Sedangkan di dalam hutan ini lagikan kita kurang selamat dengan kehadiran pemburu, inikan pula engkau hendak keluar ke kampung yang lebih besar bahayanya daripada di dalam hutan ini”.

Anak merbah menjawab, “Tidak ada apa yang perlu ditakutkan. Saya lihat burung-burung gagak itu pergi dan pulang dengan selamatnya dan bahagia sekali. Jika mereka berjaya mengapa pulak kita tidak boleh?, Burung-burung gagak itu tidak pernah takut untuk keluar daripada hutan ini. Malah ada yang tinggal di kampung itu dengan bebas dan bahagia’, tukas si kecil itu.

Bersuara pula ibu si merbah kecil itu, “Jangan samakan kita dengan gagak. Gagak tidak disukai oleh manusia kerana isi mereka tidak boleh dimakan dan mereka tidak mempunyai kelebihan suara seperti kita. Manusia suka memburu kita kerana isi kita sedap dimakan dan suara kita boleh dipertandingkan. Faham!”, marah si ibu merbah.

“Tak faham”, balas anak merbah kecil itu dengan angkuhnya lalu terbang meninggalkan kawanannya.

Ibu si merbah kecil itu mengejar dan memanggil anaknya tetapi tidak diendahkan dan ia terus terbang jauh kedalam hutan dan menyembunyikan diri di balik rimbunan pepohon untuk mengelak diri dari dilihat ibunya.

Sehingga lewat tengahari, sekawanan merbah tadi mencari anak merbah yang hilang itu. Ibunya merasa sedih dan teramat bimbang akan keselamatan anaknya itu. Apatah lagi mengenangkan hasrat anaknya ingin keluar ke kampung merasa beras dan gandum. Setelah merasakan kumpulan merbah yang mencarinya sudah jauh daripada kawasan persembunyiannya, anak merbah keluar dari rimbunan pepohon dan terbang sendirian dengan hati yang riang.

Hari sudah lewat petang, semua binatang pulang ke tempat tinggal masing-masing. Burung-burung juga terbang untuk pulang ke sarang. Tetapi anak merbah yang degil ini terbang keluar ke arah kampung. Semakin lama semakin jauh meninggalkan hutan rimba. Hari sudah gelap, anak merbah tidak tahu dia berada di mana. Yang pastinya ia sudah jauh meninggalkan hutan. Ia berasa letih. Ia hinggap di satu tempat yang tidak diketahui apakah itu kerana yang pasti ia bukanlah dahan pokok. Ia cuba terbang tetapi tidak dapat. Kakinya tersekat tetapi dia tidak tahu apakah yang menyekat kakinya. Puas dia berusaha untuk melepaskan diri namun gagal. Akhirnya dia tertidur.

Keesokan paginya, ia terdengar bunyi yang sangat pelik. Riuh dan bising bunyinya. Ia cuba untuk melepaskan diri dari sangkutan yang menyekat kakinya, namun masih tidak berhasil.

“Mak, ayah, cepat mari tengok. Ada anak merbah tersangkut di jala kita.” jerit seorang budak lelaki.

Rupa-rupanya, anak merbah tadi sudah sampai ke kampung. Dia tersangkut di jala kepunyaan seorang nelayan. Ia menjadi takut dan berusaha untuk melepaskan diri. Tetapi sekali lagi, ia gagal.

“Wah, bagus betul. Anak merbah. Rezeki kita lah Abu. Boleh kita masuk pertandingan suara merbah hujung tahun nanti”, kata ayah kepada budak lelaki yang bernama Abu itu. Mereka kemudiannya mengeluarkan anak merbah daripada jala dan memasukkannya ke dalam sangkar buluh. Budak lelaki itu kemudiannya meletakkan secawan air, semangkuk kecil gandum dan semangkuk kecil beras ke dalam sangkar tersebut.

Anak merbah merasakan ia sudah terlepas daripada sangkutan itu berasa amat gembira apatah lagi apabila melihat gandum, beras dan air terhidang di hadapannya. Segera ia mematuk gandum dan beras dan memakannya sepuas-puasnya.

Anak merbah berasa bangga kerana ia tidak sangka perjalanannya untuk mencari gandum dan beras amat mudah. Ia berjanji untuk menceritakan perihal kejayaannya mendapatkan beras dan gandum dengan mudah kepada kumpulannya dan juga kumpulan kenari yang penakut dan pengecut itu.

Kerana terlalu gembira dan kenyang, iapun bersiul-siul dengan riang sambil berbuai di buaian buluh kecil yang tersangkut di sangkar itu. Ia begitu seronok dan tidak sabar untuk berkongsi kisah kejayaannya itu dengan kawan-kawannya.

Tengahari itu, anak merbah mula berasa bosan kerana asyik bergayut di buaian. Ia ingin pulang. Tetapi ia tidak dapat mencari jalan keluar. Ia cuba keluar melalui lubang-lubang buluh yang menyekatnya itu. Lama-lama ia keletihan. Barulah ia sedar bahawa ia telah terkurung di dalam sangkar.

Hari demi hari berlalu, anak burung merbah itu berasa amat bosan dengan kehidupannya sekarang. Meskipun ia diberi makanan gandum dan beras setiap hari, namun itu tidak lagi menjadi kegemarannya. Ia berasa begitu sedih dan kecewa.

Kini ia bersiul bukan kerana gembira tetapi kerana terpaksa. Setiap pagi, tengahari dan petang, ia terpaksa bersiul senyaring-nyaringnya untuk persiapan pertandingan. Ia berasa teramat dukacita kerana tidak lagi dapat terbang bebas dan tidak lagi dapat pulang ke sarangnya. Ia merindui kehidupan di hutan yang bebas. Ia merindui kawan-kawannya dan ia merindui ibunya. Ia pasti ibunya berasa amat risau akan dirinya. Ia teringat akan nasihat dan teguran daripada merbah dewasa dan juga kawanan kenari. Namun apakan daya, ia sudah tidak mampu berbuat apa-apa.

Tinggallah ia di dalam sangkar buluh itu. Apa yang pasti, ia tidak tahu apa yang akan terjadi pada dirinya apabila besar kelak. Ia menjadi takut dan bimbang akan nasib dirinya. Apakah ia akan terus berada di dalam sangkar ini menunggu hingga akhir nafas atau akan mati dimakan oleh manusia.

PENGAJARAN.

1) Mereka yang degil dan tidak mendengar nasihat, akan memusnahkan diri sendiri.
2) Nasihat dan teguran orang adalah kerana mereka sayangkan kita, dan tidak ingin nasib yang tidak baik menimpa kita.
3) Belajar menerima teguran dan nasihat daripada orang lain.
4) Orang yang tidak ditegur atau tidak ada sesiapa yang menasihatinya adalah orang yang rugi. Kerana dirinya tidak disayangi.
5) Allah benci orang yang degil. Kesudahan yang buruk adalah bagi mereka yang tidak mematuhi nasihat.


Subhanallah. Walhamdulillah. Walaillahaillallah. Allahu Akhbar.

Wednesday, March 2, 2011

Puisi 3: Lelah berhelah.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.


Pabila lelah
Jiwa sungguh resah
Kelibat gelisah, menerjah!.
Bermain syaitan menganggu angan dan fikir
diri leka umpama fakir
yang terlupa zikir.

Termanggu di birai sendu
mencari arah, jawapan dan jalan tuju
dengan tekad cahaya diburu
tetapi sesekali tersadung nafsu
ketika menempuh jalan buntu
lalu terkulai layu, iman pun lesu..

Panjang akal mencari helah
Untuk melangkah gagah
dengan suara meyakinkan
dengan doa dan pengharapan
menginginkan keajaiban

Penipunya diri
Ketika katanya meyakini kalimah suci
sedang di hati berteka-teki
mengharap sinar bertamu
sedangkan tahu belum tiba waktu!.


Allahu.

.

Tuesday, March 1, 2011

Monolog Diri 2: KAU tahu.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.


Ya.
Bumi mana yang tidak ditimpa hujan?
Lautan mana yang tidak bergelora?
Manusia mana yang dicipta sempurna, tanpa ujian?
Insan mana yang hidupnya indah, tiada nestapa?

Meski dalam lakonan wayangpun, kita dihidangkan dengan genre drama dan filem yang pelbagai skrip lakon layarnya. Walau dalan cerita kartun itupon, ada saat susah atau payah yang dilalui oleh watak-wataknya. Begitu juga manusia.

Dan!.
Aku inikan manusia. Bukan malaikat yang tidak berjantina. Bukan jin yang tidak dilihatkan di alam nyata. Aku insan yang Allah jadikan serupa dengan dia dan mereka. Daripada titis air mani ayah bersatu di dalam rahim ibu, membesar dalam kantung yang tiada corong atau lubang udara, tetap aku membesar dengan sempurna anggota!.

Nah!. Indahkan ciptaan Illahi. Pada yang sangsi, apa lagi yang kalian cari?!.
Tapi, bukan itu bualan bicara aku di sini. Aku tidak memperkatakan tentang kamu, kamu dan kamu. Tidak juga tentang dia dan mereka itu. Aku berbahasa tentang aku. Ya, tentang aku sendiri!.

Aku membait ayat inspirasi. Agar aku kuat dan menapak kemas berhadapan warna-warna kehidupan. Aku menulis untuk aku ingatkan pada jiwa yang bergelora bahawa dalam apa juga rencana, Allah itu ada bersama. Itu yang aku cuba yakini, dengan sesungguhnya, dengan sebenarnya. Dan aku akui, ia terhasil dalam diri, keyakinan jitu tanpa belah bahagi.

Namun, sesekali menyelak tabir hati sambil menatap cermin diri, kenapa aku lihat dua watak yang berbeza?. Watak dalaman yang kental, tetapi luaran yang goyah?. Jiwa yang utuh tetapi insan yang rapuh?. Di mana sebenarnya akalku berlabuh?

Senang, tenang dan lancar lidahku berbicara.. lagipula untuk memberi kalimah percuma..
Laju.. tanpa skrip yang diperlu direka dahulu..

Sebegitu bersahaja aku menasihati orang, lantas mempraktikkan ke atas diriku. Tetapi, rasanya, adalah lebih senang mendengar cerita orang daripada cerita sendiri. Kisah orang didengar dan difahami, kisah sendiri bagaikan berduri. Bukankah?. Adakalanya jatuh rasa cemburu, apabila mereka ada aku untuk berpahat erat, sedangkan aku sendiri, hanya berpaut pada keyakinan yang kuat, Allah bersamaku!.

Ya Allah.. ampuni aku yang jahil. Aku butuh bantuan dari-Mu. Kekuatan dalam berhadapan cabaran dan godaan nafsu. Aku tidak mahu menipu. Kerana hujung jawapannya yang aku tipu adalah KAMU Ya Rabb.

Allah.. aku tahu Engkau tahu. Engkau tidak pernah jauh seperti janji-Mu. Engkau dekat lebih dekat dari urat nadiku. Ketika mataku melirik, lidahku bergerak, hatiku berdetik, Kau tahu segala makna tersurat dengan segala tafsir.

Pabila tanganku tidak kuat menadah berdoa, lidahku tidak lagi lancar berbunga bahasa, sujudku takut dan malu menyuara hasrat, aku tahu Kau tahu yang tersirat..

Apabila suara bibirku tiba-tiba menjadi bisu. Ya Rahman Ya Rahiim, dengarlah rintihan sanubariku, hatiku tidak menipu-Mu wahai Yang Maha Agung. Kau tahu itu. Bantulah aku yang mengharap sinar dan petunjuk, hanya dari-Mu.. atas rahmat, belas dan ehsan-Mu.

Bismillahi tawakaltu 'Alallah..
.

Friday, February 25, 2011

Dialog 1 : Kerana Sayang

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.



... dialog di pagi hari.. di dalam kereta.. dialog terucap dalam masa mendengar ceramah di CD..

Aku: Hah.. kan betul. Poligami tu hukumnya HARAM.

Abang : Eh. leen ni. Apa pulak camtu. Kan Ustaz tu cakap haram membantah!.

Aku: Amboi.. tang bab tu, laju je dengar eh.. kehkehkeh. Tapi Leen dengar bab lain. Leen dengar Ustaz cakap, segala yang termaktub dalam Al-Quran itu adalah ketetapan dan HARAM untuk dipertikaikan. Mesti ikut.

Abang: Iyala. Kan hukum poligami itu jelas termaktub di dalam Al-Quran.

Aku: Aik.. baik punya ’backing’.. ada hati ke?. Hihihi.

Abang: Dah ke situ pulak dia. Mana ada. Orang cakap pasal ceramah ni.

Aku: Iyala. Betul la Leen cakap tu. Poligami dah jatuh hukum HARAM.

Abang: Kenapa?.

Aku: Antara ayat yang termaktub dalam Surah An-Nisa, dinyatakan, ’jangan ganti yang baik dengan yang buruk’.. ada jugak ayat yang menyatakan... ”Kalau khuatir tidak dapat berlaku adil, maka kahwinilah hanya satu”. Surah Al-Baqarah pula, ada yang Allah firmankan, ”.. dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.”.. skip satu ayat. Ayat seterusnya dinyatakan ” Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya...”

Abang: Apa kaitannya?.

Aku: (dalam hati ...hehehe... bersedialah menadah telinga ye cik abang sayang..)
Aku: Berpoligami itu memang diBENARKAN. Setuju. Tiada bantahan. Muktamat. Tetapi.. andai dengan berpoligami itu, membuatkan suami tidak mampu berlaku adil, tidak mampu menyediakan makanan dan pakaian kepada isterinya lalu menjadikan si isteri menderita kerananya.. bukankah HUKUMNYA JATUH KEPADA HARAM!. Dan BERDOSA!.

Abang: Tapi, itu bagi yang tidak mampu. Bagi yang mampu, tetap hukumnya boleh kan.

Aku: Mampukah kita mengukur ADIL?. Mampukah kita benar-benar berlaku adil?. Apakah justifikasi tentang ADIL?. Adakah adil pada pandangan si suami turut adil di penerimaan si isteri pertama juga isteri kedua serta anak-anaknya, mertuanya, saudara-maranya, jiran tetangganya?.

Hahahahhaaa.... aku dah gelak-gelak.. (aku memang suka kalau tajuk ni dijadikan bahan bual)..

Aku: Abang bayangkan.. bagaimana nak dikatakan adil jika awal-awal lagi dah tunjuk tidak adil. Berkahwin senyap-senyap, nikah kat sempadan. Itukan tidak adil. Masa kahwin dengan isteri pertama, kenduri 3 hari 3 malam. Baju sampai 5-6 persalinan. Bila kahwin nombor 2, pakai kemeja lusuh, songkok pun pinjam. Kesian kat bini no. 2, tak merasa nak buat grand wedding... kahkahkah..

Aku: Tu baru suku dari satu bab. Banyak bab lain lagi... Macam mana nak berlaku adil kalau awal-awal lagi dah kecut!. Tak berani nak nyatakan kebenaran?. Minta la izin bini kalau nak kahwin lain.

Abang: Kalau Leen, leen nak bagi ke?.

Aku: Aik.. nak ke?..

Abang: Ada pulak... Orang tanya je lah..

Aku: hihihi... Hmm... kalau Leen eh?.. Hmm... kalau Leen.. Leen AKAN SIGN BORANG POLIGAMI seandainya madu Leen tu seorang anak dara yang berkelulusan Ijazah kedoktoran daripada Universiti Al-Azhar. Professionnya Doktor Bedah. Bertudung labuh, lagi bagus kalau berpurdah. Anak Tok Imam atau Bilal kampung yang mak ayah dia jenis orang yang kuat agama. Dia sendiri pun seorang yang alim dan berpegang kuat dengan agama. CONFIRM leen bagi.

Abang: Kenapa pulak macam tu?.

Aku: Iya la, sebab Leen sayangkan abang la Leen nak abang dapat yang terbaik. Takkan Leen nak bermadu dengan betina yang tak tahu hukum halal haram... yang rambut perang, pakai dedah sana dedah sini, senang di peluk di usung dek jantan tak kira tempat, kuku berqutex, solat tak pernah, merokok dah serupa dengan jantan, disko karaoke setiap malam. Nauzhubillah. Dengan leen, abang pergi masjid dengar ceramah agama segala bagai, tapi dengan betina cam tu kena pergi karaoke disko pub semua tempat setan-setan bertandang. Haish.. simpan malaikat 44.

Aku lagi: Kalau madu Leen tu seorang yang alim, tinggi iman dan takwanya, bijak dalam akademiknya, baik keturunannya, luhur budi pekertinya, sejuk sikit hati Leen bila abang bersama dia. Leen tahu dalam doa solatnya mesti dia doakan yang baik untuk abang supaya dia dan abang masuk syurga. Kalau abang masuk syurga, Leen pun berpaut kaki abang je la, sebab abang suami Leen. Mana aci abang tinggalkan Leen kat luar sedangkan abang ngan dia buleh masuk syurga.. mestila leen buleh masuk sama... Kehkehkeh.....

Abang: Leen ni kan.. kalau cakap, mesti menjangkau jauh punya imajinasi.

Aku: Sebab Leen sayangkan abang. Sebenarnya kan abang... lelaki yang bini dia tak bagi kahwin lain tu, patut bersyukur. Sebab bini diaorang sayang sangat kat diaorang. Cuba kalau si bini tu tiap-tiap hari merengek suruh laki dia cari lain, mesti ada something wrong somewhere. Mesti sebab bini tu pun dah meluat amat tengok laki dia kat rumah, sebab tu bini tu pon dah tak mau kat laki tu. Kalau sampai tahap macam tu, jangan kata sayang, doa pun takkan dapat punya. Rugi tau, suami yang tak dapat doa isteri. Antara doa yang dimakbulkan Allah adalah doa orang yang ikhlas menyayangi seseorang lain kerana Allah.

Diam tetiba.. (malaikat lalu kot.. oppssss.. hehehe).

Aku (lagi): Sebab tu la kan.. kalau terasa nak cari bini baru, si suami ni mesti pastikan diri tu betul-betul mantap. Bukan mampu wang ringgit je, mampu ilmu agama tu yang utama!. Boleh ajar isteri dan anak-anak baca Al-Quran, berjemaah, Qiyamullail. Semua tu untuk mencari redha Allah. Ini tidak, ada yang langsung tak solat. Kalau solatpun, bacaan surah Al-Fatihah saja dah tak betul. Belum suruh buat sujud sajadah atau lead baca Yaa Siin lagi. Dah tu camno??...

Aku (dan lagi): Hah.. pasal tu le, Leen cakap kat abang.. kalau nak cari madu untuk Leen, carilah seperti yang Leen maklumkan tadi... Baru kelaaassss.... hihihi... amacam, ok?

Abang : Mengarut aje Leen ni tau. Cakap la benada pelik-pelik macam ni... tu doa tau!.

Aku : Pelik apanya pulak. Leen sekadar menyatakan. Alah.. dulu.. Leen setiap waktu dalam solat, dalam doa siap baca Yaa Siin dan solat hajat lagi, minta pada Allah untuk permudahkan jalan bagi Leen untuk jadi Peguam. Tapi Allah tak makbulkan pun. Itu tandanya, Allah lebih tahu mana yang baik bagi kita.

Abang: Iya la. Tapi, kan percakapan kita tu jugak satu doa.

(Diam seketika... suara Ustaz penceramah tenggelam timbul.. aku memang tak konsentrate dengan ceramah dia dah... hehehe).

Aku (sambung balik): Kalau macam tu kan bang.. Leen nak doalah hari ni.. Seandainya terdetik di hati abang untuk berpoligami. Seandainya abang berkahwin lain, LEEN MOHON PADA ALLAH AGAR HAPUSKAN SEMUA DOSA LEEN DAN MOHON ALLAH TAKDIRKAN UNTUK LEEN MASUK KE SYURGA-NYA TANPA HISAB. Leen mohon Allah angkat darjat Leen agar dapat bersama Rasulullahi Sallallahu ’Alaihi Wassalam dan kaum keluarga Baginda. Dapat memilih untuk masuk mana-mana pintu Syurga yang Penghulunya Maryam, Fatimah, Khadijah dan Asiah. Ameen.

... daaan, abang... kira sendiri le bila tawon nk masuk syurga.. kehkehkeh.. banyak oooo persoalan yang abang kena jawab di hadapan Allah nanti... tentang keadilan untuk rumah ini, rumah sana.. anak sini, anak sana, tanggungjawab sini, tanggungjawab sana... nafkah sini... nafkah sana... huiiissshhh.... ngeeeriiii oooo...

Untung le kalau anak-anak yang soleh dan solehah nak doakan untuk abang.. kalau diaorang pun tak heran kat abang.. asyik dok doa untuk diri dan IBU diaorang je.. masak rentung BBQ panggang le abang.. hikhikhik....

Abang : Alah.. abang tahu.. Leen cakap macam tu sebenarnya sebab Leen tak bagi abang buat macam tu kan.. tadi macam beriya je bagi green light... (senyum senyum simpul).

Aku: hahahahaaa.... Leen sekadar ingatkan... sementara ada peluang dan ruang untuk ingatkan.. esok-esok, mana nak tau kan.. ”KALAU-KALAU” (ditekankan sikit idqamnya) terjadi, jangan kata leen tak ingatkan.. dan lagi.. lelaki ni, bila dah time ’mabuk kepayang, angau gila bayang, setan menelentang’, takde nya sapa boleh larang dan halang.. kata dia je la yang betul... banyak kan kes macam ni.. bukan sekali dua kita dengar..

Abang : Leen takut ke kalau abang kahwin lain?. (sambil angkat-angkat kening yang tak buleh terangkat sangat tu laa..)

Aku: Leen bukan takut untuk Leen. Tapi, Leen takut untuk abang. Takut abang lambat masuk Syurga. Leen nak masuk syurga senang je. Jaga Solat 5 waktu jangan tinggal. Puasa penuh bulan Ramadhan. Jaga kemaluan/ aurat. TAAT pada suami. Lengkap 4 tu, confirm boleh pilih mana-mana pintu syurga. Sebab tu tiap-tiap hari Leen minta redha abang ngan redha mak ayah.. hihihi... Tapi, kalau lelaki yang berpoligami di tanya Allah tentang tanggungjawab dan keadilan.. apa mau jawab weeehhhh??... asal jawab, dijerit PENIPU dek Malaikat kiri kanan.. and DUUUSSSSHHH kena humban masuk Neraka.. nauzubillahi mindzaalik.

Abang : Leen ni kan.. abang rasa, patut pergi bagi ceramah dekat lelaki-lelaki yang teringin kahwin lagi atau yang sedang menggatal nak tambah cawangan lagi tu. Abang confirm diaorang insaf dan tak berani nak teruskan hasrat diaorang.

Aku: Buat apa Leen bagi ceramah kat diaorang?. Bukan kewajipan Leen untuk ingatkan diaorang.. sendiri mau ingat la. Leen bagi ’ceramah’ free ni kat abang je, SEBAB LEEN SAYANG ABANG.. nape? Abang nak leen sayang lelaki lain jugak ke?.. (angkat kening sebelah ala2 kak ziana zain!!).

Abang : haish.. ke situ pulak.. hahaha.. TAK NAAAK… Abang nak leen sayang abang je.. hahahaha….

Aku : senyum (dalam hati... ”oooo… tau pulak eh..”….arghkahkahkahkah.. boleh je nak jadi point utk balas, tapi, dah dekat nak sampai ofis.. malas nak sembang dah.. sambung dengar ceramah Ustaz walaupun dah tak tahu hujung pangkal.. balik nanti sambung dengar... hihihi).



Allahumasolli 'ala Muhammad. Wa'ala ali Muhammad.



.

Wednesday, February 23, 2011

Cerpen 1: Cahaya di Dada Langit Biru.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.


Hanim jadi tidak ketentuan apabila menerima satu sms dari seseorang yang begitu lama tidak ditemuinya. Orang yang satu ketika dahulu pernah bertahta dihatinya. Percutiannya ke Kota Kinabalu untuk menghabiskan sisa-sisa cuti semester sebelum berangkat pulang ke UK terganggu dengan mesej yang diterima daripada nombor yang tiada dalam simpanannya. Tetapi nama yang tertera di akhir ayat sms ringkas itu membuatkan hatinya berbolak-balik.

Resah dan gelisah bukan kerana tidak mahu berjumpa dengan si penghantar sms itu, tetapi tidak tahu samada perlu atau tidak untuk bertemu. 10 tahun lamanya dia tidak bertemu secara empat mata dengan jejaka yang pernah bertahun ‘menginap’ di birai hatinya. Pertemuan terakhir mereka adalah semasa hari persandingannya dengan Asyraf, yang kini sah menjadi raja dihatinya menggantikan tempat yang pernah menjadi milik si penghantar sms itu.

"As Salam. Anim. Mohon berjumpa.
Meski untuk seketika.
Di cafe’ lobi hotel. Jam 8.30malam.
Saya tunggu dengan penuh harap. –Razlan-"
Hanim musykil. Kenapa hari ini?. Kenapa di sini?. Kenapa dirinya di cari?. Bukankah masing-masing sudah ada kehidupan sendiri?. Untuk apa lagi pertemuan ini?. Sebolehnya dia tidak mahu sebarang pertemuan empat mata dengan lelaki itu. Bukan sekarang!. Walaupun dia tahu, suatu hari nanti mereka pasti akan juga bertemu, tetapi tidak hari ini. Bukan saat dan ketika ini. Hati Hanim bercelaru dengan seribu persoalan.

Kegusaran hati dinyatakan kepada suaminya, Ashraf. Dengan tenang dan ‘steady’, Asyraf menasihati Hanim supaya turun dan berjumpa. Hanim terpinga dengan reaksi suaminya tetapi sangat lega dengan keizinan yang diterima. Sikap ‘steady’ suaminya itulah antara faktor yang berjaya menambat hati Hanim untuk menjadi suri kepada Asyraf, seniornya semasa di Universiti.

Selepas menunaikan solat, Hanim bersiap ringkas. Dia mengajak suaminya menemani, tetapi di tolak lembut oleh Asyraf. Katanya lebih selesa berada di bilik menonton siaran televisyen.

Hanim memanggil kedua-dua puteranya, mengajak menemani. Di cafe lobi hotel, tidak terlihat bayangan wajah yang ingin berjumpanya. Hanim mencari satu ruang yang agak terbuka dan duduk menunggu. Anak-anaknya memesan makanan ringan.

10 minit berlalu. Tiada!. Hanim mulai bosan. Hatinya ingin bingkas bangun.

“Assalamualaikum.” Satu suara menyapa.

“Waalaikum Salam”, Hanim membalas.

“Apa khabar?.” tanya pemunya suara.

“Err... Alhamdulillah sihat.”, tergagap Hanim menjawab sapaan.

“Azlan, Syawal. Salam Uncle”, salam bersambut bergilir. Anak-anak Hanim terus menikmati makanan ringan yang tinggal sedikit.

“Belum terlambat kan Anim nak ucap tahniah, atas perkahwinan Lan. Maaf tak dapat hadiri majlis tersebut. Macam mana hidup bila dah bergelar suami orang nih?”, Hanim cuba memulakan bicara.

“Dah biasa hidup bujang, berdikari, macam susah sikit nak ’adjust’ rasa dan masa. Kadang-kadang rasa macam tak kahwin pun ada, menyesal pun ada.”, dengan selamba Razlan menuturkan kata.

“Astaghfirullahal ’azhiim. Mengucap Lan. Tak baik cakap macam tu. Isteri tu amanah Allah pada Lan tau. Jangan ambil mudah amanah Allah, tak terjawab di akhirat nanti.” Hanim tersentak dan menggeleng.

”Ibu, kami ke lounge sekejap ya”, anak-anak Hanim meminta izin. Belum sempat Hanim memberi keizinan, mereka langsung berlalu meninggalkan Hanim dan Razlan.

Suasana sunyi seketika.

“Tinggal di mana sekarang?”, Hanim kembali memecah bisu.

“Hmm. Saya masih tinggal dengan mak, sementara nak tunggu rumah sendiri siap. Tapi ‘wife’ tak tinggal sama la. Dia ‘still’ di kolej”, Razlan seakan mengeluh.

“Isy Lan nih. Dia masih tinggal di kolej? Kenapa tak hantar dan jemput dia?” ada nada kesal pada suara Hanim dengan sikap Razlan.

“Dia tak pernah nak minta di hantar atau di jemput. Biarlah. Tahun ni tahun akhir pengajian dia di Universiti tu. Teruskanlah macam tu. Nanti kalau duduk di rumah, mengganggu konsentrasi pelajaran dia pulak. Lagipun, kerja macam Lan ni, bukan sentiasa boleh menghantar menjemput dia.” Razlan menjawab.

”Hmmm”, kelat muka Hanim mendengar jawapan Razlan.

Sahabat sejak kecilnya ini masih begitu orangnya. EGO!. Itu yang Hanim label kepada Razlan. Seorang lelaki EGO yang tidak mahu tunduk pada kemahuan wanita. Lelaki yang keras hati dan tidak akan berlembut kepada wanita. Lelaki kacak pujaan ramai gadis sepanjang persekolahan tapi mempunyai jiwa yang tidak mudah ’jatuh’ kepada wanita. Empunya tagline “Why don’t we give a chance to women to make the first move?”

Hanim dan Razlan telah lama berkawan. Sejak di sekolah tadika. Mereka membesar bersama. Bersekolah rendah di sekolah yang sama. Cuma sekolah menengah sahaja yang membezakan mereka. Razlan mengambil tawaran untuk bersekolah di sekolah asrama penuh manakala Hanim tidak mahu masuk sekolah berasrama kerana tidak sanggup berjauhan dengan keluarga.

Hubungan mereka hanya melalui surat-surat yang dihantar oleh Razlan kepada Hanim menerusi alamat sekolah. Satu sekolah kecoh apabila surat Razlan tiba kepada Hanim. Bagi pelajar lain, jika ada kes surat-menyurat, cikgu akan buka dan baca dan seterusnya dipanggil mengadap displin, tetapi Hanim tertanya sehingga ke hari ini kenapa suratnya begitu mudah sampai ke tangannya tanpa melalui tapisan ’kastam sekolah’.

Dan kerana surat-surat itulah dia dibenci oleh ramai rakan-rakan gadis di sekolah menengah.

Sekolah rendah dan sekolah menengah Hanim bersebelahan. Oleh itu, kebanyakan rakan di sekolah menengahnya adalah rakan di sekolah rendahnya, maka, ramai pelajar sekolah, termasuk guru-guru, yang tahu kisah ’persahabatan’ dan ’keakraban’ Hanim dengan Razlan. Cikgu Amirul juga pernah ’menyatukan’ mereka berdua di pentas teater bangsawan sebagai Raja dan Permaisuri kerana sukakan ’keserasian’ mereka.

Namun, hubungan mereka terputus sebaik sahaja mereka melangkah ke Universiti pilihan masing-masing. Khabar mengenai Razlan hanya diketahui menerusi Kak Dilla, kakak kandung Hanim, yang merupakan kakak angkat Razlan. Razlan kerap menemui Kak Dilla untuk bercerita.

Tetapi, dek kerana satu ’cerita’ yang disampaikan oleh Kak Dilla mengenai tanggapan Razlan di atas perhubungan mereka, menjadikan hati Hanim meluat. Sejak itu, Hanim tidak mahu lagi mendengar apa juga berita dan cerita mengenai Razlan daripada Kak Dilla. Apatah lagi untuk berjumpa dan berhubung, sungguh Hanim tidak sudi lagi.

Terakhir mereka bertemu adalah ketika majlis perkahwinan Hanim dengan Asyraf, seniornya di Universiti, 10 tahun yang lalu. Razlan datang ke majlis perkahwinannya dengan mengenakan pakaian lengkap seorang juruterbang, kata Razlan itu hari pertama dia bertugas dan dia perlu segera bergegas melaporkan diri.

Dan pada hari perkahwinan Razlan di hujung tahun lalu, Hanim tidak dapat hadir kerana berada di UK menyambung pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah.

”Lepas ni ke mana pulak?”, Hanim menyoal memecah kesunyian.

”Mungkin tak ke mana-mana lagi”, tukas Razlan membuatkan Hanim tertanya-tanya. Namun dibiarkan persoalan itu sekadar menerawang di kotak fikirnya. Malas dia bertanya lanjut. Hanim mahu pertemuan itu segera selesai.

”Lan. Maaf kalau Hanim bertanya. Ringkasnya, kenapa Lan nak jumpa Hanim?.” ujar Hanim yang sangat tidak selesa dengan pertemuan itu.

”Hanim ni tak habis-habis nakkan ringkasan. Daripada tadika sampai sekarang ni. Sikit-sikit ringkasan. Lan tahulah markah Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu Anim selalu cemerlang, kecuali matematik. Sebab dalam matematik tak ada ringkasan”, gelak Razlan.

”Weh. Apa hal pulak cerita pasal subjek sekolah segala nih?. Awak ni biar betul Razlan. Dah terhantuk dekat kokpit ke masa nak turun flight tadi?. Tak pun flight terbabas masuk sawah kot?, atau Lan terminum racun serangga?. Tetiba sahaja buat ayat psikastik nih”, bentak Hanim.

”Hah. Tu la perangai Anim yang tak berubah. Konon suka suruh buat ringkasan. Tapi kalau dia start bercakap, boleh buat novel, panjang macam rel keretapi, tak putus, macam buku akta undang-undang, tak ada titik. Nak pulak bab bebel. Mak nenek pun ‘surrender’ dengan Anim tau”, usikan Razlan semakin kuat.

“Lan. Kalau nak jumpa Anim setakat nak kutuk Anim, baik tak payah jumpa”, Hanim dah mula memuncungkan bibir dengan wajah kelat.

“Hahaha. Muncung 14 inci tu memang sinonim dengan Anim. Ikat dengan getah, baru tahu. Itu satu lagi perangai Anim. Kalau dia bebel kat kita seratus ribu patah perkataan, kita kena dengar, bila kena usik sebaris ayat, muncung 14 depa. Anim tahu tak, perangai Anim ni buruk sangat. Bodoh la kalau ada jantan mahukan Anim. Kuat merajuk, kuat bebel. Macam mak-mak”, getus Razlan tanpa sedar, masih dengan hilai tawanya. Riang hatinya dapat menyakat Hanim, seperti dulu. Seperti zaman mereka di sekolah rendah. Zaman yang sangat dirinduinya. Razlan terasa seolah mereka berada di alam kanak-kanak. Ketawanya panjang. Hilainya seakan melepas bebanan kenangan yang sarat.

Hanim terkedu mendengar ayat Razlan. Tawa lelaki itu meruntun hatinya. Terhimpit di antara bayang rindu dan benci. Usikan itu adalah antara yang dirinduinya, tetapi, usikan itu jugalah antara puncanya. Baginya, usikan itu membuka luka silam tanpa Razlan sedar.

Pantas Hanim bangun, menolak kasar kerusinya. Berpaling untuk melangkah membuatkan Razlan terpinga-pinga dan kembali sedar di mana mereka berada.

“Anim. Nanti. Maafkan Lan. Tolong jangan pergi. Duduk dulu. Please. Please forgive me. Please Anim. I beg you. Please don’t go”, sungguh-sungguh Razlan merayu Hanim.

Sekali lagi Hanim terkedu. Terkesima. Razlan si Ego itu merayu kepadanya?. Lelaki macho yang punya tagline “Why don’t we give a chance to women to make the first move?.”

Langkah Hanim terhenti. Tidak mampu menolak rasa hatinya yang juga merindui kenangan zaman persekolahan mereka dahulu. Hanim mengeluh, lantas duduk semula.

“Lan. Anim rasa kita tak patut berjumpa macam ni. Anim isteri orang dan Lan suami orang. Ya, memang kita bersahabat sejak kecil, tapi itu tidak menghalalkan hubungan kita untuk bebas laku berjumpa sesuka hati. Ada hati yang perlu dijaga. Anim dah minta izin suami Anim dan sepatutnya Lan beritahu isteri Lan tentang pertemuan kita ni. Lagipun, apa sebenarnya yang Lan mahu dengan berjumpa Hanim ni?. Rasa macam tak ‘relevan’ pulak perjumpaan ni. Baik kita jumpa ramai-ramai. Boleh rapatkan silaturahim keluarga. Jumpa macam ni, macam ada skandal pula. Buatnya saudara-mara isteri Lan nampak ke apa ke, tak ke pening Lan nak menjawab nanti?. Anim ni tak apa, suami Anim dah bagi ‘green light’ dan tu ada dua bodyguard tukang teman perisik berita tu dibawa sama”, Hanim menoleh ke arah anak-anaknya, ada getar dihatinya.

How’s your study?,” Razlan mengubah topik bualan.

“Alhamdulillah”. Ringkas jawapan Hanim.

”Berjaya jugak Anim nak dapat gelaran Doktor Falsafah dan meneruskan cita-cita untuk bergelar Profesor tu ya”, ada senyum di bibir Razlan ketika menuturkan kata-katanya.

“InsyaAllah Lan. Semoga Allah permudahkan”, balas Hanim bersahaja.

”Anim memang sesuai jadi pensyarah. Tahniah.” luhur suara Razlan.

“Terima kasih. Lan pun apa kurangnya. Dah pun berjaya mencapai cita-cita untuk memandu membelah awan biru. Ingat tak dulu? Masa kita naik basikal. Lan bawak Anim. Lan kata satu hari Lan nak bawa Anim terbang ‘membelah awan biru’. Dan..” Hanim tersentak. Terputus ayatnya di pertengahan jalan. Menyesali perkataan yang terlanjur diungkit.

“..Dan, hari ini menjadi saksi bahawa Lan sudah pun menunaikan janji Lan pada Hanim. Pemandu anda Kapten Razlan Bin Abdul Zakri siap sedia membawa penumpang bernama Puan Hanim Azera Binti Rashid bersamanya membelah awan biru dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu”, sambung Razlan dengan mata berkaca. Kenangan itu singgah menari di tengah pertemuan itu.

Dan manik-manik mutiara turun laju membelah pipi gebu Hanim.

”Lan...”, Hanim tidak mampu bersuara. Ayatnya mati dipertengahan jalan. Lidahnya kelu. Matanya memandang wajah redup Razlan yang juga berkaca, menanti gugur di bening mata. Apabila mata mereka bertentangan, Hanim lantas tunduk.

”Anim. Lan masih ingat janji Lan pada Anim 31 tahun yang lalu. Ketika Lan bawa Anim naik basikal di sekolah Tadika dulu. Dan itu yang Lan semat dalam jiwa. Suatu hari, Lan akan bawa Hanim naik kapal terbang yang Lan bawa dan saat itu nanti Lan nak Anim tahu, sebagaimana tingginya Lan terbang membelah langit biru, sebegitu juga tingginya kasih Lan pada Anim.” dengan suara tersekat-sekat Razlan meneruskan bicara.

”Tapi, Lan tak tahu apa rajuk Anim pada Lan sehinggakan Anim diam terus, jangan kata berjumpa berbual bertentang mata, menjawab panggilan Lan pun Anim tak sudi. Baru sahaja Lan nak jumpa Anim untuk beritahu yang Lan dapat tawaran sebagai Juruterbang, Kak Dilla terlebih dahulu hulurkan Kad Jemputan Perkahwinan. Anim menjadi milik orang lain pada hari pertama Lan perlu melaporkan diri bertugas. Sejak itu, Lan terus membelah langit biru tanpa menghiraukan masa dan waktu.” Razlan tidak mampu mengawal titis jernih yang jatuh melunturkan ego jantannya.

”Pertemuan dengan Zafrilah adalah aturan keluarga. Cikgu Amirul datang membawa hajat untuk memberi tanda dan mak Lan terima. Lan tak pernah ada rasa suka atau cinta. Lan telah tebarkan hati Lan di langit biru. Bukan lagi untuk sesiapa. Lan ternanti-nanti detik ini. Detik untuk membawa Anim terbang bersama Lan membelah langit biru”, Razlan tunduk berbicara, tanpa sedar ada senyum di bibir Hanim.

”Sememangnya Lan sudah mula bercuti. Lan dah mohon untuk ditukarkan ke bahagian Floor Engineering. Mak Lan dah bising sebab hidup Lan tak macam orang yang dah kahwin. Sementara menunggu tarikh rasmi, Lan habiskan cuti yang berbaki. Hajat hati, memang Lan hendak bawa isteri ‘honeymoon’, tapi bila Kak Dilla bagitau yang Anim hendak ke Kota Kinabalu sebelum berangkat semula ke UK. Lan terfikir, ini detik dan saatnya. Lepas ni mungkin Lan takkan ada peluang lagi. Maka itu, Lan putuskan untuk ambil shift ini dari kawan Lan. Lan nak bawak Anim terbang bersama dan...” bicara Razlan terhenti seketika.

”.. Dan tebarkan kenangan silam kita di dada langit biru. Biarkan ia berserakan. Jangan dikutip dan jangan dikumpul. Biar ia terbang bersama bayu. Dan nanti kita hanya akan memandangnya dengan senyum. Biar ia bergumpal dengan awan –gemawan. Lan. Pertemuan, perpisahan dan perhubungan kita ini telah tercatat di Luh Mahfuz sejak azali lagi. Hakikat yang termaktub dalam takdir Anim adalah Anim menjadi isteri kepada Asyraf dan takdir Lan adalah untuk menjadi suami kepada Zafrilah. Itu suratannya. Biarlah kenangan itu kekal sebagai kenangan.”, Hanim memintas dengan lekas.

”Hmm.. Anim betul. Lan minta maaf sebab tak sepatutnya pertemuan kita sebegini. Lan dah lama nak jumpa Anim. Sebelum Anim kahwin lagi, Lan berusaha mengatur pertemuan kita melalui Kak Dilla, tapi jawapannya sentiasa hampa. Benar-benar bulat tekad Hanim untuk tidak bertemu Lan. Lan kecewa sangat. Dan kekecewaan Lan itu semakin parah apabila menerima kad undangan perkahwinan Anim daripada Kak Dilla.”, Razlan mula bersuara.

”Itu yang dikatakan jodoh. Bukankah pertemuan perpisahan dan segala urusan takdir itu milik Allah Yang Esa. Kita sekadar merancang, DIA Maha menentukan. Kun Fa Ya Kun kata-Nya, siapa yang mampu menolak?. Yang baik bagi kita tidak semestinya betul-betul baik untuk diri kita, dan rancangan-NYA jualah yang Maha sempurna. Kan?.” tukas Hanim.

“Macam mana Anim boleh rapat dengan Asyraf ya?”, Razlan tetiba menyoal.

”Berbalik kepada soal jodoh pertemuan aturan Allah. Pertemuan Anim dengan abang Asyraf juga begitulah. Mulanya, Anim kenal abang Asyraf sekadar junior dan senior. Menjadi rapat apabila sama-sama terlibat dalam aktiviti Fakulti. Abang Asyraf Pengerusi Persatuan Fakulti dan Anim Setiausaha. Kerap jugakla berjumpa dan berbincang, dan sebanyak itu jugakla dia selalu berhadapan dengan amukan Anim.” seloroh Anim dengan gelak tawa.

”Tapi, dia ni jenis ’steady’. Anim mengamuk kat dia, dia buat macam layan lagu heavy-metal je. Tak berkudis pada telinga dia. Lagipun, masa tu, abang Asyraf dah final year. Lepas tamat belajar, terus dia dapat tawaran kerja. Anim pulak baru tahun tiga. Masa Anim di tahun akhir tu, dia kerap juga datang Fakulti, katanya ada urusan dengan lecturer kami. Bila Anim habis belajar, Anim terus apply jadi tutor di Universiti Anim belajar tu, masa tu la Abang Asyraf luahkan perasaan dia pada Anim. Tak mudah juga Anim nak terima dia. Selepas tiga kali solat istikharah dan minta pandangan dan restu mak ayah, baru Anim yakin untuk memberikan jawapan ’YA’ kepada abang Asyraf. Lepas Anim kata setuju, terus abang Asyraf hantar rombongan meminang.” Hanim rancak bercerita dengan sinar ceria terpancar di matanya.

“Nampak sangat Anim bahagia. Dari gaya cerita, Lan tahu hati Anim berbunga ria”, ada sedikit sendu di suara Razlan.

“Isy, Lan ni. Cerita Lan pun tak kurang hebat jugak kan. Jodoh aturan keluarga. Menarik tu. Bercinta lepas berkahwin, baru ada thrill”, jujur lontaran suara Hanim di pendengaran Razlan.

“Anim. Sebetulnya, ada perkara yang Lan inginkan daripada pertemuan ini”, Razlan mula meledakkan niatnya.

“Oh ya. Apa tu?” Hanim sedikit ragu.

”Maafkan Lan kalau pertanyaan Lan ini akan mengajak Anim mengimbau kenangan lama. Tapi, Lan betul-betul nak tahu. Lan nak rungkaikan simpul yang lama sangat bersarang di hati Lan. Lan nak dengar sendiri dari mulut Anim. Jawapan sebenar kepada persoalan yang Lan sendiri tertimbus di dalamnya setiap kali teringatkan kisah kita. Lan nak lepaskan bebanan persoalan ini dari otak dan jiwa Lan”, bersungguh Razlan meminta.

Hanim diam. Membisu. Bagai terasa tahu apa persoalan yang bakal ditanya oleh Razlan. Dan dia akui, jawapan kepada persoalan itu telah menebak luka lama dan peritnya tiba-tiba terasa. Hanim tunduk. Hujung sepatunya menguis kaki meja. Terasa panas kelopak matanya. Merah padam pipinya. Hanim tidak mampu menyembunyikan lara jiwanya.

”Anim. Please!”, antara keliru dan ragu dengan perlakuan Hanim, Razlan serba salah.

“Hmm… Lan pun tahu kan”, Hanim mula bersuara. Dalam gugup. Sambil mengesa airmata yang mula roboh dari benteng kelopaknya.

Perangai Anim ni, buruk sangat. Bodoh la kalau ada jantan mahukan Anim. Kuat merajuk, kuat bebel. Macam mak-mak”, Hanim gagah menahan resah demi menutur ayat sepatah.

”Anim!”, Razlan terkesima.

”Lan ingat tak ayat tu?. In fact, tadi pun Lan menuturkan sebaris ayat yang sama. Ayat yang Lan suka usik Anim sejak kita di bangku sekolah rendah. Ayat yang Lan selalu guna apabila kita bertelagah. Ayat itu juga Lan nyatakan pada Anim sewaktu kita bergaduh pasal nak masuk Universiti mana dulu.” Hanim mengesat airmata yang turun laju. Suaranya tersekat. Berat untuk menyambung cerita. Peritnya mula beraja di hati. Luka lama bagai disimbah cuka.

”Dan ianya ayat yang sama yang Lan utarakan pada Kak Dilla bila Kak Dilla tanya sama ada Lan suka Hanim atau tidak. Lan jugak bangga dengan tagline, ”Why don’t we give a chance to women to make the first move”. Tagline Lan tu membuatkan Anim geram dan benci pada Lan sebab Anim punya prinsip “Takkan perigi mencari timba!”.” Hanim tukas melepas bebal.

”Anim”, Razlan hilang kata-kata.

”Ya Lan. Terkilan dengan kedua-dua ayat itulah, makanya, Anim bertekad untuk menjarakkan persahabatan kita. Selepas Kak Dilla cerita pada Anim apa yang Lan ucapkan semasa Kak Dilla tanya Lan pasal hubungan kita, Anim berjanji pada diri Anim, sesiapa yang ingin mengetuk pintu hati Anim, perlu mempunyai dua ciri-ciri ini. 1. Lelaki itu mesti ‘mengejar’ dan ‘memulakan’ langkah untuk menambat hati Anim. 2. Lelaki itu mestilah yang benar-benar tahan dengan ’bebelan’ dan ’rajuk’ Anim. Tak semudahnya Anim menagih cinta daripada mana-mana lelaki meskipun Anim sayangkan dia sesungguh hati. Anim tetap dengan prinsip Anim. Anim berpegang kepada Qada’ dan Qadar Allah.” suara Hanim agak keras, benar-benar melepas parah di dada.

“Anim terima Abang Asyraf sebab dia datang mencari Anim. Bila Anim dah terima Ijazah, baru dia meluahkan rasa hatinya pada Anim. Katanya, dah lama dia menyimpan perasaan pada Anim, sejak kami bersama dalam Persatuan Fakulti tapi dia tak mahu suarakan sebab tak mahu ganggu pelajaran Anim. Dia tunggu sehingga Anim tamat belajar. Masa dia luahkan perasaannya, dia beritahu Anim bahawa dia rindu pada Anim, rindu pada bebelan dan rajuk Anim ketika kami merencanakan aktiviti Fakulti dulu. Rajuk dan bebelan Anim itulan yang membuatkan dia semakin mencari ruang untuk mengenali Anim. Dan memang benar, bila Anim merajuk, dia tak pernah jemu memujuk dan bila Anim membebel, ada sahaja guraunya yang boleh mematikan bebelan Anim. Justeru itu, Anim tahu bahawa masih ada lelaki di luar sana yang sudi melayan rajuk dan bebel Anim. Dan dia bukan jantan bodoh seperti yang Lan sebut. He’s a bright student. Anim tak perlu terhegeh-hegeh mendambakan dan mengejar cinta sang teruna. Dia datang mencari Anim. Itulah yang tersurat”, akhirnya Hanim merungkai segala yang terbuku sejak sekian lama di hatinya. Dalam pedih, terasa seperti berjaya mengeluarkan selumbar yang tertanam lama di dasar dada. Sakit, tetapi lega.

“Ya Allah. Itu rupanya?. Sungguh Lan tak sangka. Rajuk Anim sangat mendalam rupanya. Lan benar-benar tak duga, ayat dari mulut Lan itulah rupanya pemisah kita. Meninggalkan dendam kesumat di hati Anim. Sehingga membulat tekad. Sehingga kita putus sahabat. Sedangkan Lan sentiasa tertanya, kenapa Anim menjauhkan diri dan menolak untuk berjumpa. Kak Dilla sendiri tiada jawapan setiap kali Lan bertanya padanya.” Razlan bersuara berbaur sesalan.

“Kak Dilla tak tahu. Tak ada sesiapa yang tahu. Anim pendam sendiri rasa itu.” Hanim bersuara lemah.

”Lan akui, Lan terlalu ego untuk memberitahu Anim yang Lan juga rindukan bebelan dan rajuk Anim itu. Sebab itu Lan suka cakap yang “bodoh la kalau ada jantan mahukan Anim. Kuat merajuk, kuat bebel. Macam mak-mak.” Sebab, Lan nak Anim tahu yang Lan lah lelaki bodoh itu. Lan tak mahu ada lelaki lain di hati Anim. Bila Kak Dilla bertanya tentang hubungan kita. Lan takut untuk menyuarakan rasa hati. Takut bercampur malu. Lan takut Anim menolak cinta Lan dan Lan malu nak berterus terang pada Kak Dilla. Sebab itu, Lan kata pada Kak Dilla, sesiapa yang nakkan Lan, perempuan itu kena mulakan dulu. Ya. Lan ego. Lan tak mahu cinta Lan ditolak. Ego Lan itulah yang memaksa Lan untuk menanti dan memberi ruang kepada Anim untuk memulakan langkah. Sebab itu, bila Kak Dilla tanya pasal kita, Lan cakap kepada Kak Dilla “Why not we give a chance to women to make the first move?”, Lan harap supaya apabila Kak Dilla sampaikan kepada Anim, Anim faham maksud Lan dan bertindak. Tapi, rupanya yang terjadi sebaliknya. Ayat itu membuatkan kita terus jauh dan menjauh. Berat rupanya hukuman Tuhan di atas keegoan Lan. Lan kehilangan Anim, selamanya”, mendung tetiba kembali bertapak di kelopak mata Razlan.

“Tak Lan. Ini bukan hukuman. Tetapi inilah rahmat Allah daripada keegoan Lan. Jodoh kita terlalu panjang Lan. Kasih sayang kita terlalu dalam dan sangat utuh untuk diputuskan. Kita telah ’bersama’ sepanjang 31 tahun ini dan akan terus bersama. Ikatan persahabatan itu lebih indah berbanding ikatan perkahwinan. Adat berkahwin, pasti akan ada lidah yang tergigit, silap percaturan, bercerai di tengah jalan. Tapi adat bersahabat, akan sentiasa ada, menemani dalam suka dalam duka. Walau dipisah jarak dan masa, masih kekal atas ikatan setia. Jadinya, kita terus bersahabat ya Lan. Apa juga perasaan yang pernah tercetus dan pernah wujud dulu, kita semaikan sebagai tali persaudaraan. Kali ini kita tiada alasan untuk putus sahabat tau. Persahabatan kita kini lebih kental dengan tali persaudaraan. Kita bersahabat selamanya ya.”, panjang Anim bersuara. Ada ria dalam nadanya.

Razlan tersenyum, meski masih kelat dan tidak bercahaya.

”Lan dah pun tunaikan janji Lan pada Anim untuk bersama membelah langit biru. Kini Lan perlu tunaikan pula janji Lan pada isteri Lan yang Lan lafazkan pada ’akad semasa menikahinya. Bawalah pemilik tulang rusuk kiri Lan itu bersama, untuk mengutip sinar harapan di dada langit lalu jadikannya mahligai di dasar bumi bagi menuju Syurga Allah.” Hanim menutur kemas.

”Lan. Anim bahagia dengan suami Anim. Anim pupuk perlahan-lahan rasa kasih dan sayang itu. Lama-lama ia bercambah dan berbunga, dengan mekar dan harumnya. Anim tahu, Lan juga mampu berbuat demikian dengan isteri Lan. Isteri Lan itu terlalu baik dan luhur. Gadis yang sungguh jujur dan tulus. Seorang perempuan yang tidak pandai membebel dan merajuk macam Anim. Permaisuri yang setia menjunjung perintah nakhoda bahteranya setiap saat dan masa. Jika ditanya ciri muslimah, dialah contoh muslimah sejati. Bijak, merendah diri, sopan dan teliti orangnya. Daripada keluarga baik-baik. Best student pulak tu. Kenali dia dengan sebaiknya. Belajar menerimanya, dan mengasihinya dengan sejujurnya. Lan pasti tidak menyesal memperisterikan Zafrilah. Tutup pintu lama, buka pintu baru di hati Lan. Tambahan pula, lepas ni nanti, kita akan lebih kerap berjumpa.” Panjang Hanim menutur membuatkan Razlan terkedu. Ada tanda soal di petak mindanya.

Melihat reaksi wajah Razlan seakan bingung, pantas Hanim bersuara.

“Lan. Anim kenal Zafrilah. Dia bekas student Anim dulu. Lagi pulak, dia ada hubungan saudara dengan suami Anim. Sebenarnya, atas sokongan dan bantuan abang Asyraf, Anim dengan Cikgu Amirul berpakat aturkan pertemuan keluarga Zafrilah dengan keluarga Lan semasa Lan bertugas di Luar Negara dulu. Kalau Lan rasa Lan sentiasa ambil tahu pasal Anim daripada Kak Dilla, Anim pula selalu jumpa Cikgu Amirul untuk mengetahui perkembangan Lan. Dan Anim berpakat dengan Cikgu Amirul untuk mencari jodoh untuk Lan, tanpa pengetahuan sesiapa. Sebab tu, nampak macam Cikgu Amirul yang carikan. Kak Dilla pun tak tahu, sebab itu Lan tak tahu.” Hanim tersenyum memandang wajah Razlan yang agak tercengang.

“Jadi, kasih siapa yang lebih kuat sekarang ini?”, tutur Hanim sambil keningnya sengaja di angkat-angkat dengan gaya nakal.

Secara serentak, berderai tawa kedua-duanya.

“Kasih kita terlalu utuh dan teguh kan Anim. Kasih dalam persahabatan. Seteguh langit biru yang membentang luas di dada langit”, Razlan menjawab dengan senyuman penuh kelegaan. Wajahnya ceria dan bercahaya.

”Dan sentiasa kukuh, sekukuh langit biru tanpa tiang. Dan akan terus setia, sesetia kapal terbang yang membelah langit biru”, Hanim ketawa dan tersenyum kesyukuran.

Razlan dan Hanim sama-sama melemparkan senyuman. Terasa puas dengan pertemuan itu. Ikatan persahabatan yang dulunya terasa longgar, malap dan hampir pudar kini bertukar menjadi jalinan persaudaraan yang lebih mesra dan lebih rapat. Semakin menarik rentetan kisah hidup mereka.

Benar kata Hanim. Jodoh mereka masih panjang rupanya.

Sungguh!. Aturan Yang Maha Esa itu terlalu sempurna. Hanya jika kita tahu mencari hikmahnya.

Dan.. malam itu, bulan dan bintang-bintang bercahaya dengan sangat terangnya, jelas menampakkan serinya di dada langit biru.



Kaktiny- 7 Oktober 2009

.



Segala puji bagi Allah. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullahi Sallallahu 'Alaihi Wassalam.



.