Monday, February 21, 2011

Monolog 1: Beruntungkah aku??..

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.



Ada yang berkata:

“Aku seronok tengok kehidupan ko.. datang dari keluarga yang baik.
Mak ayah penyayang, hubungan adik beradik rapat, dahpun kahwin, dapat suami bagus, sudah ada anak sepasang, perempuan ada, lelaki pun ada, comel-comel pulak tu. Belajar pun tinggi, lepas ni nak sambung PhD, kerja pun bagus, gaji pun selesa. Seronok jadi ko ni. BERUNTUNG sungguh”.

Alhamdulillah di atas ucapan. Aku kembalikan segala kurniaan dan terima kasih itu kepada Allah. Dengan izin dan rahmat-Nya aku dianugerahi kebahagiaan-kebahagiaan ini. Syukran Ya Allah. Sungguh aku bersyukur.

Namun, dalam pada itu.. apabila perkataan UNTUNG itu disebut, aku tersentak sebenarnya... betapa terasa aku ingin berlari dari ucapan itu.. kerana itu hanyalah gambaran ’beruntung’ dunia yang aku kecapi... bukan aku tidak bersyukur, tetapi aku menginsafi kekerdilan diri.

Pandangan masyarakat mungkin hanya kepada lahiriah yang aku perolehi, tetapi, hatiku merintih mengingatkan ’persoalan batiniah’ yang terus-menerus menjerit dan merintih.

Beruntungkah aku yang dikatakan mempunyai segala di atas?

Firman Allah:
Sungguh beruntung orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyu’ solatnya” (Al-Mu’minun : 1-3)

Mengenangkan surah ini, aku menjadi sayu... terasa ingin menjerit menangis dan meraung (JANGAN!. Allah tidak suka orang yang meraung dalam doanya!!).

Allah berfirman, orang yang beruntung itu adalah “orang-orang yang beriman yang khusyu’ solatnya”.

Jika solatku tidak khusyu’ – apakah aku tergolong dalam golongan yang tidak beriman? Serta tidak beruntung?. ALLAHU AKHBAR!!..

Sehingga umur ini, aku masih cuba dan terus mencuba, untuk mendapatkan solat yang khusyu’!.

Yang pada ketika aku mula melangkah kaki ke tempat wudu’, hatiku berbunga untuk mengadap Allah.
Yang apabila aku melangkah ke tempat solat, aku mahu mengingati Hadis Syaikhani dan Tarmizi, katanya Dari Abu Hurairah R.A, “dan jika dia datang kepadaKu berjalan, maka Aku datangi mereka dengan berlari.”.
Yang apabila aku mengangkat takbir, ingatanku sepenuhnya kepadaNya.
Yang di dalam setiap gerakan solatku, aku sentiasa ’melihat’ Dia memerhatikanku dengan rahmah.
Yang di dalam setiap bacaanku, aku memahaminya, menghayatinya, serta merasakan getarannya.
Yang di dalam setiap sujudku, aku malu pada dosaku, aku insaf akan kekhilafanku.. dan bersungguh aku memunajaht memohon ampun kepada-Nya.
Yang pada salamku, , aku rindu akan pertemuan dengan-Nya dan aku sangat merasa cinta dan dekat kepada-Nya.
Dan, yang di dalam doaku, aku tahu bahawa Khaleqku tidak pernah bosan mendengar doa dan rintihan hamba-Nya ini dan aku ingin getar dan rindu itu sentiasa ada apabila nama-Nya ku sebut.

Bisakah aku mencapai rasa ini?. Mampukah aku?.. Berimankah aku?... Beruntungkah aku? Wallahu ’Alam bisawwab.. persoalan ini ku kembalikan kepada Allah, kerana aku tidak mampu menjawab!. Subhanallah!.

Betapa selama ini aku menipu diri!. Menipu Allah.. bibir dan tulisan menyatakan rindu dan cinta, sedangkan di hati ibarat daun kering di tiup angin... ringan, hilang dan melata!.

Mengangkat takbir, akal mengingati perkara dunia.
Membaca bacaan disulami tangan menggaru muka.
Pada sujud, mengenangkan perkara yang sudah lepas.
Dalam berdoa, mata pantas menatap semut atau lipas yang melintas.

Itukan tidak khusyu’!.
Tidak khusyuk’ tidak beriman!.
Tidak beriman, tidak beruntung!
Jadi, di mana untungnya aku?.

Allahu Akhbar!!..

Aku malu Ya Allah..
Malu dengan dosa dan segala kalimah
Yang lancar di lidah tetapi tidak bristiqamah
Dalam perbuatan masih lagi lemah
Iman dan takwa seringkali goyah
Bantu aku Ya Allah, ku mohon akan hidayah
Agar aku bisa menjadi hamba-Mu yang solehah.
Ameen
.





Tubna ila Allah, wa raja’na ila Allah, wa nadimna ‘ala ma fa’alna