Wednesday, February 23, 2011

Cerpen 1: Cahaya di Dada Langit Biru.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.


Hanim jadi tidak ketentuan apabila menerima satu sms dari seseorang yang begitu lama tidak ditemuinya. Orang yang satu ketika dahulu pernah bertahta dihatinya. Percutiannya ke Kota Kinabalu untuk menghabiskan sisa-sisa cuti semester sebelum berangkat pulang ke UK terganggu dengan mesej yang diterima daripada nombor yang tiada dalam simpanannya. Tetapi nama yang tertera di akhir ayat sms ringkas itu membuatkan hatinya berbolak-balik.

Resah dan gelisah bukan kerana tidak mahu berjumpa dengan si penghantar sms itu, tetapi tidak tahu samada perlu atau tidak untuk bertemu. 10 tahun lamanya dia tidak bertemu secara empat mata dengan jejaka yang pernah bertahun ‘menginap’ di birai hatinya. Pertemuan terakhir mereka adalah semasa hari persandingannya dengan Asyraf, yang kini sah menjadi raja dihatinya menggantikan tempat yang pernah menjadi milik si penghantar sms itu.

"As Salam. Anim. Mohon berjumpa.
Meski untuk seketika.
Di cafe’ lobi hotel. Jam 8.30malam.
Saya tunggu dengan penuh harap. –Razlan-"
Hanim musykil. Kenapa hari ini?. Kenapa di sini?. Kenapa dirinya di cari?. Bukankah masing-masing sudah ada kehidupan sendiri?. Untuk apa lagi pertemuan ini?. Sebolehnya dia tidak mahu sebarang pertemuan empat mata dengan lelaki itu. Bukan sekarang!. Walaupun dia tahu, suatu hari nanti mereka pasti akan juga bertemu, tetapi tidak hari ini. Bukan saat dan ketika ini. Hati Hanim bercelaru dengan seribu persoalan.

Kegusaran hati dinyatakan kepada suaminya, Ashraf. Dengan tenang dan ‘steady’, Asyraf menasihati Hanim supaya turun dan berjumpa. Hanim terpinga dengan reaksi suaminya tetapi sangat lega dengan keizinan yang diterima. Sikap ‘steady’ suaminya itulah antara faktor yang berjaya menambat hati Hanim untuk menjadi suri kepada Asyraf, seniornya semasa di Universiti.

Selepas menunaikan solat, Hanim bersiap ringkas. Dia mengajak suaminya menemani, tetapi di tolak lembut oleh Asyraf. Katanya lebih selesa berada di bilik menonton siaran televisyen.

Hanim memanggil kedua-dua puteranya, mengajak menemani. Di cafe lobi hotel, tidak terlihat bayangan wajah yang ingin berjumpanya. Hanim mencari satu ruang yang agak terbuka dan duduk menunggu. Anak-anaknya memesan makanan ringan.

10 minit berlalu. Tiada!. Hanim mulai bosan. Hatinya ingin bingkas bangun.

“Assalamualaikum.” Satu suara menyapa.

“Waalaikum Salam”, Hanim membalas.

“Apa khabar?.” tanya pemunya suara.

“Err... Alhamdulillah sihat.”, tergagap Hanim menjawab sapaan.

“Azlan, Syawal. Salam Uncle”, salam bersambut bergilir. Anak-anak Hanim terus menikmati makanan ringan yang tinggal sedikit.

“Belum terlambat kan Anim nak ucap tahniah, atas perkahwinan Lan. Maaf tak dapat hadiri majlis tersebut. Macam mana hidup bila dah bergelar suami orang nih?”, Hanim cuba memulakan bicara.

“Dah biasa hidup bujang, berdikari, macam susah sikit nak ’adjust’ rasa dan masa. Kadang-kadang rasa macam tak kahwin pun ada, menyesal pun ada.”, dengan selamba Razlan menuturkan kata.

“Astaghfirullahal ’azhiim. Mengucap Lan. Tak baik cakap macam tu. Isteri tu amanah Allah pada Lan tau. Jangan ambil mudah amanah Allah, tak terjawab di akhirat nanti.” Hanim tersentak dan menggeleng.

”Ibu, kami ke lounge sekejap ya”, anak-anak Hanim meminta izin. Belum sempat Hanim memberi keizinan, mereka langsung berlalu meninggalkan Hanim dan Razlan.

Suasana sunyi seketika.

“Tinggal di mana sekarang?”, Hanim kembali memecah bisu.

“Hmm. Saya masih tinggal dengan mak, sementara nak tunggu rumah sendiri siap. Tapi ‘wife’ tak tinggal sama la. Dia ‘still’ di kolej”, Razlan seakan mengeluh.

“Isy Lan nih. Dia masih tinggal di kolej? Kenapa tak hantar dan jemput dia?” ada nada kesal pada suara Hanim dengan sikap Razlan.

“Dia tak pernah nak minta di hantar atau di jemput. Biarlah. Tahun ni tahun akhir pengajian dia di Universiti tu. Teruskanlah macam tu. Nanti kalau duduk di rumah, mengganggu konsentrasi pelajaran dia pulak. Lagipun, kerja macam Lan ni, bukan sentiasa boleh menghantar menjemput dia.” Razlan menjawab.

”Hmmm”, kelat muka Hanim mendengar jawapan Razlan.

Sahabat sejak kecilnya ini masih begitu orangnya. EGO!. Itu yang Hanim label kepada Razlan. Seorang lelaki EGO yang tidak mahu tunduk pada kemahuan wanita. Lelaki yang keras hati dan tidak akan berlembut kepada wanita. Lelaki kacak pujaan ramai gadis sepanjang persekolahan tapi mempunyai jiwa yang tidak mudah ’jatuh’ kepada wanita. Empunya tagline “Why don’t we give a chance to women to make the first move?”

Hanim dan Razlan telah lama berkawan. Sejak di sekolah tadika. Mereka membesar bersama. Bersekolah rendah di sekolah yang sama. Cuma sekolah menengah sahaja yang membezakan mereka. Razlan mengambil tawaran untuk bersekolah di sekolah asrama penuh manakala Hanim tidak mahu masuk sekolah berasrama kerana tidak sanggup berjauhan dengan keluarga.

Hubungan mereka hanya melalui surat-surat yang dihantar oleh Razlan kepada Hanim menerusi alamat sekolah. Satu sekolah kecoh apabila surat Razlan tiba kepada Hanim. Bagi pelajar lain, jika ada kes surat-menyurat, cikgu akan buka dan baca dan seterusnya dipanggil mengadap displin, tetapi Hanim tertanya sehingga ke hari ini kenapa suratnya begitu mudah sampai ke tangannya tanpa melalui tapisan ’kastam sekolah’.

Dan kerana surat-surat itulah dia dibenci oleh ramai rakan-rakan gadis di sekolah menengah.

Sekolah rendah dan sekolah menengah Hanim bersebelahan. Oleh itu, kebanyakan rakan di sekolah menengahnya adalah rakan di sekolah rendahnya, maka, ramai pelajar sekolah, termasuk guru-guru, yang tahu kisah ’persahabatan’ dan ’keakraban’ Hanim dengan Razlan. Cikgu Amirul juga pernah ’menyatukan’ mereka berdua di pentas teater bangsawan sebagai Raja dan Permaisuri kerana sukakan ’keserasian’ mereka.

Namun, hubungan mereka terputus sebaik sahaja mereka melangkah ke Universiti pilihan masing-masing. Khabar mengenai Razlan hanya diketahui menerusi Kak Dilla, kakak kandung Hanim, yang merupakan kakak angkat Razlan. Razlan kerap menemui Kak Dilla untuk bercerita.

Tetapi, dek kerana satu ’cerita’ yang disampaikan oleh Kak Dilla mengenai tanggapan Razlan di atas perhubungan mereka, menjadikan hati Hanim meluat. Sejak itu, Hanim tidak mahu lagi mendengar apa juga berita dan cerita mengenai Razlan daripada Kak Dilla. Apatah lagi untuk berjumpa dan berhubung, sungguh Hanim tidak sudi lagi.

Terakhir mereka bertemu adalah ketika majlis perkahwinan Hanim dengan Asyraf, seniornya di Universiti, 10 tahun yang lalu. Razlan datang ke majlis perkahwinannya dengan mengenakan pakaian lengkap seorang juruterbang, kata Razlan itu hari pertama dia bertugas dan dia perlu segera bergegas melaporkan diri.

Dan pada hari perkahwinan Razlan di hujung tahun lalu, Hanim tidak dapat hadir kerana berada di UK menyambung pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah.

”Lepas ni ke mana pulak?”, Hanim menyoal memecah kesunyian.

”Mungkin tak ke mana-mana lagi”, tukas Razlan membuatkan Hanim tertanya-tanya. Namun dibiarkan persoalan itu sekadar menerawang di kotak fikirnya. Malas dia bertanya lanjut. Hanim mahu pertemuan itu segera selesai.

”Lan. Maaf kalau Hanim bertanya. Ringkasnya, kenapa Lan nak jumpa Hanim?.” ujar Hanim yang sangat tidak selesa dengan pertemuan itu.

”Hanim ni tak habis-habis nakkan ringkasan. Daripada tadika sampai sekarang ni. Sikit-sikit ringkasan. Lan tahulah markah Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu Anim selalu cemerlang, kecuali matematik. Sebab dalam matematik tak ada ringkasan”, gelak Razlan.

”Weh. Apa hal pulak cerita pasal subjek sekolah segala nih?. Awak ni biar betul Razlan. Dah terhantuk dekat kokpit ke masa nak turun flight tadi?. Tak pun flight terbabas masuk sawah kot?, atau Lan terminum racun serangga?. Tetiba sahaja buat ayat psikastik nih”, bentak Hanim.

”Hah. Tu la perangai Anim yang tak berubah. Konon suka suruh buat ringkasan. Tapi kalau dia start bercakap, boleh buat novel, panjang macam rel keretapi, tak putus, macam buku akta undang-undang, tak ada titik. Nak pulak bab bebel. Mak nenek pun ‘surrender’ dengan Anim tau”, usikan Razlan semakin kuat.

“Lan. Kalau nak jumpa Anim setakat nak kutuk Anim, baik tak payah jumpa”, Hanim dah mula memuncungkan bibir dengan wajah kelat.

“Hahaha. Muncung 14 inci tu memang sinonim dengan Anim. Ikat dengan getah, baru tahu. Itu satu lagi perangai Anim. Kalau dia bebel kat kita seratus ribu patah perkataan, kita kena dengar, bila kena usik sebaris ayat, muncung 14 depa. Anim tahu tak, perangai Anim ni buruk sangat. Bodoh la kalau ada jantan mahukan Anim. Kuat merajuk, kuat bebel. Macam mak-mak”, getus Razlan tanpa sedar, masih dengan hilai tawanya. Riang hatinya dapat menyakat Hanim, seperti dulu. Seperti zaman mereka di sekolah rendah. Zaman yang sangat dirinduinya. Razlan terasa seolah mereka berada di alam kanak-kanak. Ketawanya panjang. Hilainya seakan melepas bebanan kenangan yang sarat.

Hanim terkedu mendengar ayat Razlan. Tawa lelaki itu meruntun hatinya. Terhimpit di antara bayang rindu dan benci. Usikan itu adalah antara yang dirinduinya, tetapi, usikan itu jugalah antara puncanya. Baginya, usikan itu membuka luka silam tanpa Razlan sedar.

Pantas Hanim bangun, menolak kasar kerusinya. Berpaling untuk melangkah membuatkan Razlan terpinga-pinga dan kembali sedar di mana mereka berada.

“Anim. Nanti. Maafkan Lan. Tolong jangan pergi. Duduk dulu. Please. Please forgive me. Please Anim. I beg you. Please don’t go”, sungguh-sungguh Razlan merayu Hanim.

Sekali lagi Hanim terkedu. Terkesima. Razlan si Ego itu merayu kepadanya?. Lelaki macho yang punya tagline “Why don’t we give a chance to women to make the first move?.”

Langkah Hanim terhenti. Tidak mampu menolak rasa hatinya yang juga merindui kenangan zaman persekolahan mereka dahulu. Hanim mengeluh, lantas duduk semula.

“Lan. Anim rasa kita tak patut berjumpa macam ni. Anim isteri orang dan Lan suami orang. Ya, memang kita bersahabat sejak kecil, tapi itu tidak menghalalkan hubungan kita untuk bebas laku berjumpa sesuka hati. Ada hati yang perlu dijaga. Anim dah minta izin suami Anim dan sepatutnya Lan beritahu isteri Lan tentang pertemuan kita ni. Lagipun, apa sebenarnya yang Lan mahu dengan berjumpa Hanim ni?. Rasa macam tak ‘relevan’ pulak perjumpaan ni. Baik kita jumpa ramai-ramai. Boleh rapatkan silaturahim keluarga. Jumpa macam ni, macam ada skandal pula. Buatnya saudara-mara isteri Lan nampak ke apa ke, tak ke pening Lan nak menjawab nanti?. Anim ni tak apa, suami Anim dah bagi ‘green light’ dan tu ada dua bodyguard tukang teman perisik berita tu dibawa sama”, Hanim menoleh ke arah anak-anaknya, ada getar dihatinya.

How’s your study?,” Razlan mengubah topik bualan.

“Alhamdulillah”. Ringkas jawapan Hanim.

”Berjaya jugak Anim nak dapat gelaran Doktor Falsafah dan meneruskan cita-cita untuk bergelar Profesor tu ya”, ada senyum di bibir Razlan ketika menuturkan kata-katanya.

“InsyaAllah Lan. Semoga Allah permudahkan”, balas Hanim bersahaja.

”Anim memang sesuai jadi pensyarah. Tahniah.” luhur suara Razlan.

“Terima kasih. Lan pun apa kurangnya. Dah pun berjaya mencapai cita-cita untuk memandu membelah awan biru. Ingat tak dulu? Masa kita naik basikal. Lan bawak Anim. Lan kata satu hari Lan nak bawa Anim terbang ‘membelah awan biru’. Dan..” Hanim tersentak. Terputus ayatnya di pertengahan jalan. Menyesali perkataan yang terlanjur diungkit.

“..Dan, hari ini menjadi saksi bahawa Lan sudah pun menunaikan janji Lan pada Hanim. Pemandu anda Kapten Razlan Bin Abdul Zakri siap sedia membawa penumpang bernama Puan Hanim Azera Binti Rashid bersamanya membelah awan biru dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu”, sambung Razlan dengan mata berkaca. Kenangan itu singgah menari di tengah pertemuan itu.

Dan manik-manik mutiara turun laju membelah pipi gebu Hanim.

”Lan...”, Hanim tidak mampu bersuara. Ayatnya mati dipertengahan jalan. Lidahnya kelu. Matanya memandang wajah redup Razlan yang juga berkaca, menanti gugur di bening mata. Apabila mata mereka bertentangan, Hanim lantas tunduk.

”Anim. Lan masih ingat janji Lan pada Anim 31 tahun yang lalu. Ketika Lan bawa Anim naik basikal di sekolah Tadika dulu. Dan itu yang Lan semat dalam jiwa. Suatu hari, Lan akan bawa Hanim naik kapal terbang yang Lan bawa dan saat itu nanti Lan nak Anim tahu, sebagaimana tingginya Lan terbang membelah langit biru, sebegitu juga tingginya kasih Lan pada Anim.” dengan suara tersekat-sekat Razlan meneruskan bicara.

”Tapi, Lan tak tahu apa rajuk Anim pada Lan sehinggakan Anim diam terus, jangan kata berjumpa berbual bertentang mata, menjawab panggilan Lan pun Anim tak sudi. Baru sahaja Lan nak jumpa Anim untuk beritahu yang Lan dapat tawaran sebagai Juruterbang, Kak Dilla terlebih dahulu hulurkan Kad Jemputan Perkahwinan. Anim menjadi milik orang lain pada hari pertama Lan perlu melaporkan diri bertugas. Sejak itu, Lan terus membelah langit biru tanpa menghiraukan masa dan waktu.” Razlan tidak mampu mengawal titis jernih yang jatuh melunturkan ego jantannya.

”Pertemuan dengan Zafrilah adalah aturan keluarga. Cikgu Amirul datang membawa hajat untuk memberi tanda dan mak Lan terima. Lan tak pernah ada rasa suka atau cinta. Lan telah tebarkan hati Lan di langit biru. Bukan lagi untuk sesiapa. Lan ternanti-nanti detik ini. Detik untuk membawa Anim terbang bersama Lan membelah langit biru”, Razlan tunduk berbicara, tanpa sedar ada senyum di bibir Hanim.

”Sememangnya Lan sudah mula bercuti. Lan dah mohon untuk ditukarkan ke bahagian Floor Engineering. Mak Lan dah bising sebab hidup Lan tak macam orang yang dah kahwin. Sementara menunggu tarikh rasmi, Lan habiskan cuti yang berbaki. Hajat hati, memang Lan hendak bawa isteri ‘honeymoon’, tapi bila Kak Dilla bagitau yang Anim hendak ke Kota Kinabalu sebelum berangkat semula ke UK. Lan terfikir, ini detik dan saatnya. Lepas ni mungkin Lan takkan ada peluang lagi. Maka itu, Lan putuskan untuk ambil shift ini dari kawan Lan. Lan nak bawak Anim terbang bersama dan...” bicara Razlan terhenti seketika.

”.. Dan tebarkan kenangan silam kita di dada langit biru. Biarkan ia berserakan. Jangan dikutip dan jangan dikumpul. Biar ia terbang bersama bayu. Dan nanti kita hanya akan memandangnya dengan senyum. Biar ia bergumpal dengan awan –gemawan. Lan. Pertemuan, perpisahan dan perhubungan kita ini telah tercatat di Luh Mahfuz sejak azali lagi. Hakikat yang termaktub dalam takdir Anim adalah Anim menjadi isteri kepada Asyraf dan takdir Lan adalah untuk menjadi suami kepada Zafrilah. Itu suratannya. Biarlah kenangan itu kekal sebagai kenangan.”, Hanim memintas dengan lekas.

”Hmm.. Anim betul. Lan minta maaf sebab tak sepatutnya pertemuan kita sebegini. Lan dah lama nak jumpa Anim. Sebelum Anim kahwin lagi, Lan berusaha mengatur pertemuan kita melalui Kak Dilla, tapi jawapannya sentiasa hampa. Benar-benar bulat tekad Hanim untuk tidak bertemu Lan. Lan kecewa sangat. Dan kekecewaan Lan itu semakin parah apabila menerima kad undangan perkahwinan Anim daripada Kak Dilla.”, Razlan mula bersuara.

”Itu yang dikatakan jodoh. Bukankah pertemuan perpisahan dan segala urusan takdir itu milik Allah Yang Esa. Kita sekadar merancang, DIA Maha menentukan. Kun Fa Ya Kun kata-Nya, siapa yang mampu menolak?. Yang baik bagi kita tidak semestinya betul-betul baik untuk diri kita, dan rancangan-NYA jualah yang Maha sempurna. Kan?.” tukas Hanim.

“Macam mana Anim boleh rapat dengan Asyraf ya?”, Razlan tetiba menyoal.

”Berbalik kepada soal jodoh pertemuan aturan Allah. Pertemuan Anim dengan abang Asyraf juga begitulah. Mulanya, Anim kenal abang Asyraf sekadar junior dan senior. Menjadi rapat apabila sama-sama terlibat dalam aktiviti Fakulti. Abang Asyraf Pengerusi Persatuan Fakulti dan Anim Setiausaha. Kerap jugakla berjumpa dan berbincang, dan sebanyak itu jugakla dia selalu berhadapan dengan amukan Anim.” seloroh Anim dengan gelak tawa.

”Tapi, dia ni jenis ’steady’. Anim mengamuk kat dia, dia buat macam layan lagu heavy-metal je. Tak berkudis pada telinga dia. Lagipun, masa tu, abang Asyraf dah final year. Lepas tamat belajar, terus dia dapat tawaran kerja. Anim pulak baru tahun tiga. Masa Anim di tahun akhir tu, dia kerap juga datang Fakulti, katanya ada urusan dengan lecturer kami. Bila Anim habis belajar, Anim terus apply jadi tutor di Universiti Anim belajar tu, masa tu la Abang Asyraf luahkan perasaan dia pada Anim. Tak mudah juga Anim nak terima dia. Selepas tiga kali solat istikharah dan minta pandangan dan restu mak ayah, baru Anim yakin untuk memberikan jawapan ’YA’ kepada abang Asyraf. Lepas Anim kata setuju, terus abang Asyraf hantar rombongan meminang.” Hanim rancak bercerita dengan sinar ceria terpancar di matanya.

“Nampak sangat Anim bahagia. Dari gaya cerita, Lan tahu hati Anim berbunga ria”, ada sedikit sendu di suara Razlan.

“Isy, Lan ni. Cerita Lan pun tak kurang hebat jugak kan. Jodoh aturan keluarga. Menarik tu. Bercinta lepas berkahwin, baru ada thrill”, jujur lontaran suara Hanim di pendengaran Razlan.

“Anim. Sebetulnya, ada perkara yang Lan inginkan daripada pertemuan ini”, Razlan mula meledakkan niatnya.

“Oh ya. Apa tu?” Hanim sedikit ragu.

”Maafkan Lan kalau pertanyaan Lan ini akan mengajak Anim mengimbau kenangan lama. Tapi, Lan betul-betul nak tahu. Lan nak rungkaikan simpul yang lama sangat bersarang di hati Lan. Lan nak dengar sendiri dari mulut Anim. Jawapan sebenar kepada persoalan yang Lan sendiri tertimbus di dalamnya setiap kali teringatkan kisah kita. Lan nak lepaskan bebanan persoalan ini dari otak dan jiwa Lan”, bersungguh Razlan meminta.

Hanim diam. Membisu. Bagai terasa tahu apa persoalan yang bakal ditanya oleh Razlan. Dan dia akui, jawapan kepada persoalan itu telah menebak luka lama dan peritnya tiba-tiba terasa. Hanim tunduk. Hujung sepatunya menguis kaki meja. Terasa panas kelopak matanya. Merah padam pipinya. Hanim tidak mampu menyembunyikan lara jiwanya.

”Anim. Please!”, antara keliru dan ragu dengan perlakuan Hanim, Razlan serba salah.

“Hmm… Lan pun tahu kan”, Hanim mula bersuara. Dalam gugup. Sambil mengesa airmata yang mula roboh dari benteng kelopaknya.

Perangai Anim ni, buruk sangat. Bodoh la kalau ada jantan mahukan Anim. Kuat merajuk, kuat bebel. Macam mak-mak”, Hanim gagah menahan resah demi menutur ayat sepatah.

”Anim!”, Razlan terkesima.

”Lan ingat tak ayat tu?. In fact, tadi pun Lan menuturkan sebaris ayat yang sama. Ayat yang Lan suka usik Anim sejak kita di bangku sekolah rendah. Ayat yang Lan selalu guna apabila kita bertelagah. Ayat itu juga Lan nyatakan pada Anim sewaktu kita bergaduh pasal nak masuk Universiti mana dulu.” Hanim mengesat airmata yang turun laju. Suaranya tersekat. Berat untuk menyambung cerita. Peritnya mula beraja di hati. Luka lama bagai disimbah cuka.

”Dan ianya ayat yang sama yang Lan utarakan pada Kak Dilla bila Kak Dilla tanya sama ada Lan suka Hanim atau tidak. Lan jugak bangga dengan tagline, ”Why don’t we give a chance to women to make the first move”. Tagline Lan tu membuatkan Anim geram dan benci pada Lan sebab Anim punya prinsip “Takkan perigi mencari timba!”.” Hanim tukas melepas bebal.

”Anim”, Razlan hilang kata-kata.

”Ya Lan. Terkilan dengan kedua-dua ayat itulah, makanya, Anim bertekad untuk menjarakkan persahabatan kita. Selepas Kak Dilla cerita pada Anim apa yang Lan ucapkan semasa Kak Dilla tanya Lan pasal hubungan kita, Anim berjanji pada diri Anim, sesiapa yang ingin mengetuk pintu hati Anim, perlu mempunyai dua ciri-ciri ini. 1. Lelaki itu mesti ‘mengejar’ dan ‘memulakan’ langkah untuk menambat hati Anim. 2. Lelaki itu mestilah yang benar-benar tahan dengan ’bebelan’ dan ’rajuk’ Anim. Tak semudahnya Anim menagih cinta daripada mana-mana lelaki meskipun Anim sayangkan dia sesungguh hati. Anim tetap dengan prinsip Anim. Anim berpegang kepada Qada’ dan Qadar Allah.” suara Hanim agak keras, benar-benar melepas parah di dada.

“Anim terima Abang Asyraf sebab dia datang mencari Anim. Bila Anim dah terima Ijazah, baru dia meluahkan rasa hatinya pada Anim. Katanya, dah lama dia menyimpan perasaan pada Anim, sejak kami bersama dalam Persatuan Fakulti tapi dia tak mahu suarakan sebab tak mahu ganggu pelajaran Anim. Dia tunggu sehingga Anim tamat belajar. Masa dia luahkan perasaannya, dia beritahu Anim bahawa dia rindu pada Anim, rindu pada bebelan dan rajuk Anim ketika kami merencanakan aktiviti Fakulti dulu. Rajuk dan bebelan Anim itulan yang membuatkan dia semakin mencari ruang untuk mengenali Anim. Dan memang benar, bila Anim merajuk, dia tak pernah jemu memujuk dan bila Anim membebel, ada sahaja guraunya yang boleh mematikan bebelan Anim. Justeru itu, Anim tahu bahawa masih ada lelaki di luar sana yang sudi melayan rajuk dan bebel Anim. Dan dia bukan jantan bodoh seperti yang Lan sebut. He’s a bright student. Anim tak perlu terhegeh-hegeh mendambakan dan mengejar cinta sang teruna. Dia datang mencari Anim. Itulah yang tersurat”, akhirnya Hanim merungkai segala yang terbuku sejak sekian lama di hatinya. Dalam pedih, terasa seperti berjaya mengeluarkan selumbar yang tertanam lama di dasar dada. Sakit, tetapi lega.

“Ya Allah. Itu rupanya?. Sungguh Lan tak sangka. Rajuk Anim sangat mendalam rupanya. Lan benar-benar tak duga, ayat dari mulut Lan itulah rupanya pemisah kita. Meninggalkan dendam kesumat di hati Anim. Sehingga membulat tekad. Sehingga kita putus sahabat. Sedangkan Lan sentiasa tertanya, kenapa Anim menjauhkan diri dan menolak untuk berjumpa. Kak Dilla sendiri tiada jawapan setiap kali Lan bertanya padanya.” Razlan bersuara berbaur sesalan.

“Kak Dilla tak tahu. Tak ada sesiapa yang tahu. Anim pendam sendiri rasa itu.” Hanim bersuara lemah.

”Lan akui, Lan terlalu ego untuk memberitahu Anim yang Lan juga rindukan bebelan dan rajuk Anim itu. Sebab itu Lan suka cakap yang “bodoh la kalau ada jantan mahukan Anim. Kuat merajuk, kuat bebel. Macam mak-mak.” Sebab, Lan nak Anim tahu yang Lan lah lelaki bodoh itu. Lan tak mahu ada lelaki lain di hati Anim. Bila Kak Dilla bertanya tentang hubungan kita. Lan takut untuk menyuarakan rasa hati. Takut bercampur malu. Lan takut Anim menolak cinta Lan dan Lan malu nak berterus terang pada Kak Dilla. Sebab itu, Lan kata pada Kak Dilla, sesiapa yang nakkan Lan, perempuan itu kena mulakan dulu. Ya. Lan ego. Lan tak mahu cinta Lan ditolak. Ego Lan itulah yang memaksa Lan untuk menanti dan memberi ruang kepada Anim untuk memulakan langkah. Sebab itu, bila Kak Dilla tanya pasal kita, Lan cakap kepada Kak Dilla “Why not we give a chance to women to make the first move?”, Lan harap supaya apabila Kak Dilla sampaikan kepada Anim, Anim faham maksud Lan dan bertindak. Tapi, rupanya yang terjadi sebaliknya. Ayat itu membuatkan kita terus jauh dan menjauh. Berat rupanya hukuman Tuhan di atas keegoan Lan. Lan kehilangan Anim, selamanya”, mendung tetiba kembali bertapak di kelopak mata Razlan.

“Tak Lan. Ini bukan hukuman. Tetapi inilah rahmat Allah daripada keegoan Lan. Jodoh kita terlalu panjang Lan. Kasih sayang kita terlalu dalam dan sangat utuh untuk diputuskan. Kita telah ’bersama’ sepanjang 31 tahun ini dan akan terus bersama. Ikatan persahabatan itu lebih indah berbanding ikatan perkahwinan. Adat berkahwin, pasti akan ada lidah yang tergigit, silap percaturan, bercerai di tengah jalan. Tapi adat bersahabat, akan sentiasa ada, menemani dalam suka dalam duka. Walau dipisah jarak dan masa, masih kekal atas ikatan setia. Jadinya, kita terus bersahabat ya Lan. Apa juga perasaan yang pernah tercetus dan pernah wujud dulu, kita semaikan sebagai tali persaudaraan. Kali ini kita tiada alasan untuk putus sahabat tau. Persahabatan kita kini lebih kental dengan tali persaudaraan. Kita bersahabat selamanya ya.”, panjang Anim bersuara. Ada ria dalam nadanya.

Razlan tersenyum, meski masih kelat dan tidak bercahaya.

”Lan dah pun tunaikan janji Lan pada Anim untuk bersama membelah langit biru. Kini Lan perlu tunaikan pula janji Lan pada isteri Lan yang Lan lafazkan pada ’akad semasa menikahinya. Bawalah pemilik tulang rusuk kiri Lan itu bersama, untuk mengutip sinar harapan di dada langit lalu jadikannya mahligai di dasar bumi bagi menuju Syurga Allah.” Hanim menutur kemas.

”Lan. Anim bahagia dengan suami Anim. Anim pupuk perlahan-lahan rasa kasih dan sayang itu. Lama-lama ia bercambah dan berbunga, dengan mekar dan harumnya. Anim tahu, Lan juga mampu berbuat demikian dengan isteri Lan. Isteri Lan itu terlalu baik dan luhur. Gadis yang sungguh jujur dan tulus. Seorang perempuan yang tidak pandai membebel dan merajuk macam Anim. Permaisuri yang setia menjunjung perintah nakhoda bahteranya setiap saat dan masa. Jika ditanya ciri muslimah, dialah contoh muslimah sejati. Bijak, merendah diri, sopan dan teliti orangnya. Daripada keluarga baik-baik. Best student pulak tu. Kenali dia dengan sebaiknya. Belajar menerimanya, dan mengasihinya dengan sejujurnya. Lan pasti tidak menyesal memperisterikan Zafrilah. Tutup pintu lama, buka pintu baru di hati Lan. Tambahan pula, lepas ni nanti, kita akan lebih kerap berjumpa.” Panjang Hanim menutur membuatkan Razlan terkedu. Ada tanda soal di petak mindanya.

Melihat reaksi wajah Razlan seakan bingung, pantas Hanim bersuara.

“Lan. Anim kenal Zafrilah. Dia bekas student Anim dulu. Lagi pulak, dia ada hubungan saudara dengan suami Anim. Sebenarnya, atas sokongan dan bantuan abang Asyraf, Anim dengan Cikgu Amirul berpakat aturkan pertemuan keluarga Zafrilah dengan keluarga Lan semasa Lan bertugas di Luar Negara dulu. Kalau Lan rasa Lan sentiasa ambil tahu pasal Anim daripada Kak Dilla, Anim pula selalu jumpa Cikgu Amirul untuk mengetahui perkembangan Lan. Dan Anim berpakat dengan Cikgu Amirul untuk mencari jodoh untuk Lan, tanpa pengetahuan sesiapa. Sebab tu, nampak macam Cikgu Amirul yang carikan. Kak Dilla pun tak tahu, sebab itu Lan tak tahu.” Hanim tersenyum memandang wajah Razlan yang agak tercengang.

“Jadi, kasih siapa yang lebih kuat sekarang ini?”, tutur Hanim sambil keningnya sengaja di angkat-angkat dengan gaya nakal.

Secara serentak, berderai tawa kedua-duanya.

“Kasih kita terlalu utuh dan teguh kan Anim. Kasih dalam persahabatan. Seteguh langit biru yang membentang luas di dada langit”, Razlan menjawab dengan senyuman penuh kelegaan. Wajahnya ceria dan bercahaya.

”Dan sentiasa kukuh, sekukuh langit biru tanpa tiang. Dan akan terus setia, sesetia kapal terbang yang membelah langit biru”, Hanim ketawa dan tersenyum kesyukuran.

Razlan dan Hanim sama-sama melemparkan senyuman. Terasa puas dengan pertemuan itu. Ikatan persahabatan yang dulunya terasa longgar, malap dan hampir pudar kini bertukar menjadi jalinan persaudaraan yang lebih mesra dan lebih rapat. Semakin menarik rentetan kisah hidup mereka.

Benar kata Hanim. Jodoh mereka masih panjang rupanya.

Sungguh!. Aturan Yang Maha Esa itu terlalu sempurna. Hanya jika kita tahu mencari hikmahnya.

Dan.. malam itu, bulan dan bintang-bintang bercahaya dengan sangat terangnya, jelas menampakkan serinya di dada langit biru.



Kaktiny- 7 Oktober 2009

.



Segala puji bagi Allah. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullahi Sallallahu 'Alaihi Wassalam.



.