Friday, June 17, 2011

Cereka Kanak-Kanak 2 : Seusia Aira

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.




Aira berusia 6 tahun. Aira tinggal bersama Ibunya, seorang Ibu tunggal. Ibu Aira menyara hidup mereka dengan menjual hasil gubahan bunga-bunga yang dikarang untuk perhiasan pejabat.

Satu hari, Ibu Aira mendapat jemputan menjual gubahan bunga di tapak ekspo pertanian. Ibunya mengubah pelbagai bentuk bunga dengan cantik dan bersedia untuk dipamerkan dan dijual di tapak ekspo.

Ibu Aira mengajak Aira mengikutinya untuk menjual gubahan-gubahan bunga tersebut. Aira sangat gembira.

Sampainya Aira di tapak ekspo pertanian, dilihat begitu banyak gerai-gerai yang mempamerkan dan menjual pelbagai barangan. Daripada makanan, haiwan ternakan, buah-buahan, sayur-sayuran malah gubahan bunga seperti yang Ibunya buat juga ada.

Gerai Ibu Aira di tengah-tengah gerai yang turut menjual gubahan bunga. Cantik-cantik gubahan yang mereka gubah, secantik gubahan yang digubah Ibunya.

Orang ramai mula menapak masuk ke tapak ekspo. Aira memerhatikan gelagat sekelilingnya. Ada pelanggan yang lalu lalang, ada yang singgah bertanya harga, ada yang seperti berminat untuk beli malah ada juga yang membeli produk-produk yang dijual di tapak ekspo tersebut.

Tiba-tiba, Aira mendengar bunyi bising dari arah pintu dewan besar ekspo, dilihat ramai orang berpakaian cantik dan berbaju kot. Menurut Ibunya, itu Menteri. Menteri adalah orang besar. Menteri mesti banyak duit. Menteri mesti beli barang yang banyak. Itu yang Aira faham apabila Ibunya menyebut Menteri itu ’Orang Besar’. Aira sangat berharap agar Menteri itu singgah di gerai Ibunya dan membeli gubahan Ibunya.

Aira memerhatikan langkah Menteri dan rombongannya. Aira melihat Menteri itu membeli sesuatu di gerai buah-buahan yang betul-betul berhadapan dengan gerai Ibunya. Kemudian Menteri itu membeli pula sayur-sayuran di gerai hujung gerai buah-buahan tadi.

Apabila Menteri itu singgah di gerai Ibunya, hati Aira girang kerana disangkanya pasti Menteri itu akan membeli gubahan Ibunya. Pasti Ibunya akan memperolehi keuntungan yang banyak jika Menteri itu membelinya. Menteri dan pengikut-pengikutnya membelek-belek hasil gubahan Ibu Aira dan seterusnya berlalu ke gerai sebelahnya pula. Di gerai sebelahnya, Menteri itu membeli 2 pasu gubahan bunga. Aira berasa amat kecewa kerana Menteri itu tidak membeli gubahan Ibunya. Aira benci melihat makcik di sebelah gerai Ibunya, kerana adanya makcik itu, maka Menteri itu tidak membeli gubahan Ibunya. Begitu getus hati Aira. Aira menjadi sugul dan murung sepanjang hari.

Kekecewaan Aira berlarutan sehingga ke malam hari. Aira tidak mahu menjamah makanan. Aira tidak mahu menonton rancangan kartun kegemarannya, malah Aira juga tidak mahu mendengar jumlah jualan yang Ibunya perolehi untuk hari tersebut.

Rajuknya sangat panjang. Ibunya yang menyedari rajuk Aira bertanyakan mengapa. Aira menyatakan bahawa dia tidak mahu lagi menemani Ibunya ke tapak ekspo pada esok hari. Puas ditanya dan disoal, tahulah Ibu Aira bahawa Aira merajuk kerana Menteri tersebut tidak membeli gubahan Ibunya. Ibu Aira memujuk Aira dan mengajar Aira bersabar, berserah dan berdoa kepada Allah semoga ada rezeki mereka di esok hari sambil menunjukkan keuntungan yang mereka perolehi pada hari tersebut.

Dengan hati yang rawan dan baki sisa tidak puas hati kepada Menteri tersebut, Aira termakan juga pujuk Ibunya dan bersetuju untuk mengikut Ibunya ke tapak Ekspo pada esok hari.

Pada keesokan harinya, dengan hati yang sedikit hambar, Aira mengikuti langkah Ibunya ke tapak ekspo. Hari ini Aira tidak mahu duduk di gerai Ibunya, Aira ingin berjalan-jalan. Aira menjelajah dari satu gerai ke satu gerai sehingga ke hujung gerai dan berpatah balik sehingga sampai ke muka pintu utama.

Dalam pada berjalan perlahan, Aira terdengar perbualan dua orang makcik yang baru melangkah masuk ke dewan. Mereka tertegun dengan keluasan tapak eskpo berkenaan. Seorang makcik itu menyatakan bahawa dia tidak larat untuk berjalan jauh. Dia hanya ingin mencari gubahan bunga, tetapi kedua-dua mereka tidak tahu di mana letaknya tapak gubahan bunga.

Aira yang mendengar terus bertanya kepada kedua-dua makcik tersebut adakah mereka mahu membeli gubahan bunga. Apabila diangguk oleh makcik-makcik itu, Aira pun mencadangkan kepada makcik-makcik itu agar membeli gubahan bunga Ibunya. Makcik-makcik tersebut bersetuju dan meminta Aira membawa mereka ke tempat Ibunya. Aira dengan girang membawa makcik-makcik itu ke gerai Ibunya.

Sesampai di gerai Ibunya, Aira menunjukkan gubahan-gubahan bunga dan mengesyorkan kepada makcik-makcik itu untuk membeli gubahan bunga Ibunya itu. Alangkah riangnya hati Aira apabila makcik-makcik itu memborong sebanyak 5 pasu gubahan Ibunya dan menempah lagi 15 pasu untuk diletakkan di sebuah Sekolah. Makcik-makcik itu sebenarnya adalah Guru-Guru sekolah yang berhampiran yang ditugaskan untuk membeli gubahan bunga bagi menghias sekolah mereka.

Cikgu-cikgu tersebut kemudiannya memuji gubahan Ibu Aira dan bersetuju untuk menempah gubahan Ibu Aira pada setiap acara di sekolah tersebut. Ibu Aira sangat gembira dan memeluk Aira sambil memuji kebijaksanaan Aira yang membawa guru-guru itu ke gerai mereka. Aira sangat gembira dengan pujian tersebut. Senyumnya melebar sepanjang hari. Puas dengan keuntungan yang Ibunya perolehi dan bangga kerana dia berjaya membawa cikgu-cikgu itu ke gerai Ibunya.









Tuhanku, aku tidak layak masuk syurga-Mu, namun tidak pula aku sanggup menghadapi, siksa neraka-Mu, oleh itu terimalah taubatku dan ampunkan dosa-dosaku, sesungguhnya Engkaulah penghapus dosa-dosa besar..






.