Monday, March 28, 2011

Puisi 6 : Jangan Di Balas.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi maha Penyayang

Haish...
Siapa dia?
Kenapa dia?
Apa masalah dia?

Rasanya BUDAK lagi kot..
Yang baru bertatih utk kenal dunia
Dan baru ingin memahami dan mengenali agama..

Lantas dibaca maklumat dengan mata yang satu
Tanpa mahu dicerna menjadi ilmu
Kerana menurut bisikan nafsu
Hasutan Iblis yang datang menghimpit
Menekan jiwa menjadi sempit..
Maka itu hatinya kabur
Kerana terasa diri dah betul
Membuka pekung manusia menabur
Pandangan nista dan kata takbur

Cukuplah hati usah melawan
Jangan diturut nafsu syaitan
Cukuplah iman usah berbahas
Katanya usah dibalas
Pandanglah dengan belas

Semoga Allah membuka hijab
Yang batil dan benar bisa terjawab
Bukan untuk memenangkan sesiapa
Hanya mohon ditenangkan jiwa
Dilapangkan dada oleh Yang Esa...

Wahai Allah yang empunya hukum..
Ya Hakam.. Ya Hakam.. Ya Hakam.. Ya Hakam.. Ya Hakam..
Sesungguhnya, hanya Kau yang faham..
Bukan kami,
Makhluk-Mu yang sering berpandangan serong
Iman dan nafsu datang membondong
Tapi sering juga kami terpesong
Lantas lidah lancar berbohong
Terleka syaitan yang melancarkan perang
Iman di jiwa cuba diserang
dengan pujian pada akal dan emosi yang melayang..
terbang!!.

Ampunkan kami Allah.. Ampunkan kami...
Kami mohon hanya redha-Mu..
Redhai kami Ya Rabb..
Redhai kami... Ameen.



Hasbunallah Wani'mal wakil.. Cukuplah Allah sebagai Penolong dan Dialah sebaik-baik Pelindung. Allahu Akbhar!.

.

Sunday, March 27, 2011

General : Senyum itu penawarnya!

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Dengan nama Allah yang Pengasih lagi Maha Penyayang.




Benar seperti saranan Rasulullah.




Jika berdiri dalam keadaan marah, lakukan beberapa gerakan posisi sehingga amarah itu hilang dan kembali senyum dengan senang.


Jika berada dalam ujian resah, kembalikan gundah kepada Allah, dan pandang hikmah yang disediakan dan kembali senyum dengan tenang.


Jika dalam kondisi buntu, rujuk Al-Quran kalam suci Allah dan hadis Rasulullah sebagai penerang jalan dan penyembuh jiwa dan kembali senyum dengan lapang.






Benar.. senyum itu penawar.


Senyum di kala marah, minda akan senang.


Senyum di kala resah, hati akan tenang.


Senyum di kala buntu, jiwa akan lapang.


Senyum itu penawar anugerah Allah..






Semoga Allah menerimaku dengan senyuman..


Semoga Rasulullah menantiku di telaga kauthar dengan senyuman.. Semoga redha Allah ku perolehi dengan senyuman..






Allah.. aku mensyukuri nikmat rahmat-Mu kerana bisa membuatku tersenyum.. Senyuman dari jiwa.. kudus untuk-Mu Ya Rabb.. Ya Khaliq yang agung..


Terima Kasih Allah.




Aku Sayang Allah...



Aku Rindu Allah...



Aku Cinta Allah...





Laa Tahzaan.. Innallaha Ma'ana.


Jangan Bersedih, Allah sentiasa bersama.




.

Wednesday, March 23, 2011

Monolog 5 : Azam istiqamah!.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.



Firman Allah, bermaksud:
"Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut dengan bala bencana yang membinasakan, maka mereka pun berputus asa dari mendapat sebarang pertolongan". (Al-Quran Surah Al-An’aam 6 : ayat 44)



Mengenangkan janji dan amaran Allah itu, aku jadi terkesima dan terkedu!. TAKUT sebenarnya!.

Merenung jauh ke dasar diri, yang ketika, saat dan masa ini, di uji Allah dengan ujian SUKAR, maka itu, aku terasa sering hampir dengan Allah, terasa sering diperhati oleh Allah, serasa seakan sering ditarbiyah Malaikat melalui ayat-ayat Al-Quranul Karim milik Allah!.


Tetapi... sungguh! Ayat tersebut benar-benar menjadi tamparan besar untukku... BIMBANG!. Bimbang jika Allah menarik ujian "SUSAH" ini dan menggantikannya dengan ujian "SENANG" atau lebih-lebih lagi UJIAN MEWAH.

Aku bertanya diri.. jika ujian itu HADIR KELAK:

~ ADAKAH AKU MAMPU TERUSAN BERISTIQAMAH DENGAN APA YANG AKU PERLAKUKAN KETIKA INI, MALAH MENJADI LEBIH BAIK DARI HARI INI... MAMPUKAH AKU MENERUSKAN AZAMKU KEPADA DIRIKU YANG DISAKSIKAN ALLAH SERTA DICATAT DEK MALAIKATNYA, BAHAWASANYA AKU MENGINGINKAN UNTUK MENJALANI KEHIDUPAN YANG ZUHUD SEPERTI YANG AKU CATITKAN DI LEMBARAN KERTAS JANJIKU YANG KU SEMAT DI JIWA?~

BENAR AKU BIMBANG!..

Bimbang aku LALAI dan LEKA.. serta LUPA...

"Wahai Dzat yang Maha Sempurna.. Wahai Tuhanku yang menguasai seluruh jagat raya.. Wahai Allah yang Maha Agung... Aku hamba-Mu wahai Tuhanku.. yang mengharap ehsan dan belas-Mu, setiap saat, setiap masa dan setiap ketika. Ujian-Mu ini ku tempuh dengan redha. Tolong Ya Allah.. tolong perhatikan aku setiap saat dan masa. Tolong jangan biarkan aku tergelincir dari orbit islam-Mu yang mulia ini. Terimalah hamba-Mu ini. Redhailah kami Ya Waaliy. Janganlah Kau bolak-balikkan hati kami setelah Kau luruskannya wahai Ya Khaliq, Yang Maha Pengasih lagi Maha Mengasihani. Wahai Rabb yang Agung, Yang Maha Menerima Taubat. Lindungi diri kami, iman kami dan perjalanan kehidupan kami dunia dan akhirat. Berkati kami. Izinkan kami mendapat syafaat Rasul Junjungan kami Nabi Muhammad Sallallahu 'Alahi Wassalam di sana kelak. Mohon perkenankan doaku Allah.. Ameen".




Hasbi Rabbi Jalallah.. Maafiqalbi qairullah.. Nur Muhammad Sallallah.. Nur Muhammad Sallallah.. Laa illaa haillallah.
~Cukuplah Tuhan bagiku, Allah Maha Agung. Tiada di dalam hatiku, kecuali Allah. Cahaya Muhammad, selamat atasnya. Tiada Tuhan melainkan Allah~


.

Friday, March 18, 2011

General : Teka-Teki.

Ada satu lubang. Lubang ini sentiasa ada. Ia tertutup tetapi juga terbuka. Di awalnya ia penting, tetapi kemudiannya tak siapa peduli. Cuba cari apakah ia dan di manakah ia.





. Jawapannya ~ PUSAT. - Masa awal kejadian (bayi), lubang inilah saluran makan utk bayi.. tapi bila dh besar, sapa pun tak heran kat lubang pusat.. tapi, kalau tak ada pusat, boleh hidup ke manusia itu?. hmmm... hihihihi.

















.

Wednesday, March 16, 2011

Anak-anakku 1 : Kisah GPS

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.



Situasi ~ Dalam kereta.
Penumpang ~ Abah, Ibu dan Anak
Destinasi ~ tempat yang biasa di tuju.
GPS ~ Penunjuk arah yang di ‘ON’kan!.


Anak : Abah, kita nak pergi rumah maklong kan?.

Abah : Iya lah.

Anak : Habis tu, kenapa abah pasang GPS?. Takkan abah tak tahu jalan rumah maklong?.

Abah : Saja je.

Ibu : (nak perabih bateri je tau! – merungut dalam hati, namun berdiam diri).

...........

Anak : Eh, abah nak ke mana?. Dia cakap ’go straight’, tapi kenapa abah ’kona’ sini?.

Abah : Abah tahu ’short cut’, dia bawak tu jalan jauh (highway).

Anak : oooo

Ibu : (dah tu, nape yang nak pasang? – merungut dalam hati, tapi masih diam).

.............

Anak : Eh, dia ’suruh’ masuk lorong tu la abah?. Biar betul?. Ada jalan ke? Masuk nak abah?.

Abah : Malaslah. Nanti entah ke mana-mana di bawaknya.

Ibu : hempphh.. (baik OFF je GPS ni, kalau dah tahu taknak pakai – merungut dan mula merengus)

.............

Anak : Eh, abah. Dia suruh ikut lorong ni pulak la. Sama macam lorong tadi jugak.

Abah : Taknaklah. Mustahil ada jalan kat lorong belakang tu.

Ibu : Try je la, mana tahu ada jalan yang kita tak tahu. Dah tu apa guna pakai GPS kalau taknak ikut (ada sedikit macam nak pulang paku buah keras).

Abah : (menurut walau nampak macam bengkeng je..)

Anak : Eh eh.. betul betul short cut la Ibu.. tak payah lalu traffik light banyak-banyak depan kat sana tu. Dah pun sampai. Pergh... terror la.

Ibu : Hah. Dah memang GPS ni di’set’kan untuk cari jalan mudah. Kita (yang sengaja ditekankan) yang sengaja nak cari jalan susah. Yakin sangat dengan ’jalan’ yang kita tahu, tapi rupanya ada jalan lain yang lagi bagus. Kalau dah tahu bagus, tak payah pakai GPS nih!.

Anak : Iya lah Ibu. Dah pun sampai. Best la guna GPS nih.

....................

Ibu: Maka itu, ini yang Ibu hendak sampaikan wahai anakku.

Mudahkan ada GPS?. Begitulah hidup kita.

Perjalanan hidup kita seumpama laluan ke destinasi yang kita hendak pergi. Kita tahu arahnya, kita tahu mana jalan jauh dan jalan dekat. Kita tahu lorong betul dan lorong salah.

Sebaik dilahirkan dan dianugerahkan akal yang mampu berfikir, kita yakin bahawa matlamat akhir kita adalah SYURGA ALLAH.

Tapi, dek kerana terasa 'pandai' dengan secalit ilmu yang kita ada, kita redah setiap lorong dan arah, yang adakalanya membawa kita ke jalan yang salah. Tetapi, TETAP!, Allah itu Maha Pengasih, masih ditunjukkan kita jalan yang membolehkan kita sampai ke destinasi yang kita inginkan. Masih lagi diberi hidayah dan peluang untuk kita bertaubat dan kembali ke jalan yang benar, yakni jalan yang Allah redhai. Dengan TAUBAT! dan KEMBALI KE PANGKAL JALAN!.

Namun, adakalanya apabila hidayah itu datang, tetap kita seakan meragui malah ada yang menolaknya. Maka itu, kena pandai buat pilihan. Pilih kawan atau orang yang mendorongmu ke arah kebaikan, bukan ke arah kesesatan. Belajar semula. Bertanya pada yang benar-benar tahu!.

Rumah maklong itu ibu ibaratkan sebagai Jalan Kebenaran (Syurga Allah), bermaksud, kita tahu destinasi, ke mana hala tuju kita.

GPS itu ibu ibaratkan sebagai Al-Quranul Karim dan Sunnah Rasulullah ~ panduan kita yang segalanya telah tercatat di dalamnya. Adakalanya kita rasa TAK PERLU kerana kita telah ada ILMU itu, tetapi, ketahuilah anak-anakku, ilmu kita TAKKAN PERNAH CUKUP. Jangan jemu kembali merujuk Al-Quran dan Sunnah Rasulullah serta berguru dengan yang berilmu!.

Justeru itu, jika kita rasa kita sudah cukup bagus, jawapannya TIDAK wahai anakku.
Kita tidak pernah akan bagus. Dan kita tidak pernah akan sempurna. Sebab itu fitrah manusia. Maka itu kita dijadikan Allah sebagai manusia, makhluk yang cukup istimewa ciptaan-Nya.

Gambaran sikap abah ~ itulah kita semua wahai anak-anakku. Memang fitrah manusia, kita ini perasan pandai, perasan bagus, adakalanya kita terlalu taksub dan takbur dengan ilmu yang kita ada sehingga kita tidak merasakan bahawa ada ilmu lain yang lebih baik daripada ilmu pengetahuan kita.

Melencong dari arah yang ditetapkan ~ itu juga fitrah kita. Yang sering terpesong jalan hidup, yang sering kecundang dalam melalui perjalanan hidup yang panjang. Maka, kembalilah kepada kebenaran. Kepada jalan Allah dengan merujuk kembali Al-Quran dan Hadith Rasulullah.

Gambaran sikap anak ~ itu adalah dirimu anakku. Yang masih nai’ve dan mentah. Yang tidak tahu apa yang betul dan yang salah. Yang menjadikan kami, ibu bapamu sebagai panduan dan rujukan. Tetapi, ketahuilah anak-anakku, jika keliru dengan tunjuk ajar atau pegangan yang bertentangan dengan pengetahuanmu, kembali kepada Al-Quran dan Al-Hadith.

Gambaran watak ibu ~ ibu itu adalah manusia yang sentiasa inginkan anaknya dalam keadaan baik, menjalani kehidupan yang baik dan mendapat pengakhiran yang baik. Meskipun adakalanya ibu juga salah, ibu juga tidak sempurna anakku. Ada nanti kau akan temui, insan-insan yang amat mengambil berat akan dirimu, yang mahu kau mengikuti jalan yang betul dan yang inginkan kebaikan kepada dirimu, meskipun kau mungkin akan terasa hati dengan cara, gaya dan tegurannya. Ikutilah, yang memberi manfaat dan yang menegurmu untuk kau beramal maaruf dan menolak kemungkaran!.

Ingat anakku, adakalanya yang pahit itulah penawar, yang manis itulah racun. Kebahagiaan abadi adalah denganmengikat janjimu di jalan Allah. Mengikat hatimu sebagai pencinta Allah, penyanjung Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam.

Jangan mudah menilai dan membuat keputusan berdasarkan mata.. tetapi rujuk kembali kepada pegangan yang kita percayai dan mohon terus kepada Allah Subha nahu Wata’ala.. sesungguhnya Allah sahaja sebenar-benar tempat mengadu dan meminta pertolongan.

Dan.. sekiranya kalian benar-benar 'tahu' menggunakan GPS itu, kalian akan tahu betapa mudahnya menempuh perjalanan kehidupan.. meskipun ia berliku dan bercabang arah.

Kembali kepada YANG SATU.. kembali kepada Allah.. kembali kepada rujukan utama yakni Al-Quran dan hadith. Cari ilmu yang benar!.

Ikuti lorong kehidupan yang betul berasaskan syariat islam sebagai jalan hidup!. Ibu sentiasa doakan yang terbaik untuk kalian.. wahai anak-anak Ibu!.



Ibu sangat berharap agar kalian mengerti dan mengambil iktibar daripadanya!.





"Ya Allah. Cukupkanlah aku dengan rezekimu yang halal (sehingga aku terhindar) daripada yang haram. Kayakanlah aku dengan anugerah-Mu (sehingga aku tidak minta) kepada selain Engkau" (Riwayat Al-Tarmizi).

Innalillahi wainna illaihi raajii'uun.



.

Tuesday, March 15, 2011

Monolog 4 : PERCAYA!.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.


Percaya kepada Allah..
Percaya kepada kebenaran janji Allah..
Percaya kepada keperkasaan Allah..
Percaya kepada firman-firman Allah..
Percaya kepada “Kun Fa Ya Kun” kata Allah..

Sungguh.. aku percaya dan sangat yakin..
Allah itu Maha segalanya..
Asmaul-Husna itu pelengkap diri-Nya..

Sedikit sahaja ujian-Nya.. apabila sujud menyembah-Nya, apabila meminta kepada-Nya, apabila kembalikan segala rasa kepada-Nya.. apabila redha dengan-Nya..
Maka, kemudahan itu tersedia dengan kekuasan-Nya.. dengan izin-Nya.. dengan limpah kurnia dan kasih sayang serta rahmat-Nya..

Berani menidakkan keagungan Allah??.. TIDAK!!!.. Sungguh aku tidak berani..

Malu.. jika masih menyangkal kemuliaan rahmat dan kasih Allah..

Peristiwa tahun ini sangat-sangat memberi pengajaran kepada kami berdua (khususnya)..

Peristiwa tahun ini sangat-sangat menuntun aku untuk mengenang budi saudara-saudara..

Peristiwa tahun ini sangat-sangat memberi impak kepada aku agar lebih SEDAR DIRI.

Peristiwa tahun ini sangat-sangat aku akui kebesaran Allah itu meliputi sekalian alam.

Allah Maha Mendengar. Maha Menerima Doa.

Aku syukur.. aku bangga.. aku redha... menyintai dan menyayangi Allah (meski masih ada ruang iman yang rompong yang perlu aku baiki.. meski tingkat takwa itu perlu lebih gigih aku daki)..

Aku terharu, aku kagum.. aku ingin meneladani Rasulullahi Sallallahu 'Alaihi Wassalam, Rasul junjungan mulia yang sangat aku rindui. Terima kasih Rasulku, kerana 'memperkenalkan' Allah kepada kami, umatmu..

Terima kasih Allah, kerana menjadikan kami hamba-Mu yang mengenali-Mu.

(meski masih ada keculasan dan kekhilafan, namun, aku adalah hamba-Mu.. Ampunkan aku Allah.. ampunkan aku.. terimalah taubatku.. dan aku mohon akan redha-Mu.. redhai aku.. redhai kami semua.. ameen.. )

Note: Hati terdetik rindu.. untuk bersama Rasul memberi dan menjawab salam Illahi.. SUNGGUH!!..



Tubna ilallah, wa raja’na ilallah, wa nadimna a’la ma faalna.

Astaghfirullah, Astaghfirullah. Astagfirullah.
Astaghfirullahal 'azhiiim.. Allazi la illahailla hu wal hayyu qayyum wa atubu ilaih.
.

Monday, March 14, 2011

Monolog 3 : Ujian-Mu yang ini!

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

"Terkedu" seketika (tapi tak le panik sangat sebenarnya), entah ke mana hilangnya rasa cemas, risau, gundah dan gulana.. hahaha.

Rasa itu bertukar kepada rasa lucu, rasa geli hati, lantas mengukir senyum sambil lidah mengalun syukur kerana diberi ujian sebegini.

Untuk siapa, kepada siapa dan apa isi pengajaran yang diperolehi?. Aku tujukan kepada diriku sendiri. Tanpa mahu menunding jari (meski ada rasa terkilan dan tercarik di sudut penjuru hati), langsung aku takmau fikir dan kenang.. biarkan melayang dan menghilang... sebagaimana aku harap agar segera selesai untuk hari ini!.

Lucu?.. Ya.. benar-benar lucu sebenarnya.
Tenang?. Ya.. ketenangan dan kemudahan itu Allah yang berikan..

Lantas..
"YA ALLAH...
Hamba-Mu ini menadah tangan mengucap syukur..
Ujian dan kemudahan itu Kau datangkan serentak.
Terima Kasih Ya Tuhanku Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani".

Cerita tempe yang didengar di corong radio pagi tadi tiba-tiba timbul..
Buatkan aku gelak kecil dan tersenyum sumbing..
hahahahahaaa...

Sungguhla.. rencana Allah sangat HEBAT..
Kepada setiap hamba-hambaNya...
Alhamdulillah..

Terima kasih Allah..

Pagi itu.. kejadian yang sgt lucu berlaku.. hahahaha...


Ya Hayyu Ya Qayyum.. La hau la walla qu wata illa billah..
La illahailla anta, subhanaka inni kuntu minadzzaalimiim.
.

Friday, March 11, 2011

Puisi 5: Ku mohon ma'rifat

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Dengan Nam Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.


Kita takkan pernah tahu
Siapa di sisi apabila perlu
Masalah tak pernah berlalu
Hati manusia sering tertipu
Dengan karenah dan cerita palsu
yang puncanya dari NAFSU!.

Kita ada ALLAH
Itulah sebesar hikmah
Kalam suci menjadi panduan
Buat akal yang hilang pegangan
agar kembali ke pangkal jalan
Tidak lelah di himpit ujian..

Ya Muhammad Rasul junjungan
Sunnahmu iktibar dan pedoman
Meneladanimu itu janjiku
Dalam menyelusuri arus waktu
dalam doa lafas kudus
mengharaf ma'rifat mulus
agar tidak tertimbus
ditelan arus..

Allahu Rabbi
Sujudku pada-Mu Illahi
Kau menjawab segala doa kami
Rintihan didengari
Tasbih difahami
Kasih-Mu dekat dijiwa
Padaku yang sering berdusta..

Mudah Kau rungkai masalah dunia
Melepas resah aku yang hina
Betapa naluriku ingin bersuara
Walau malu setebal rupa
Untuk berkata
Sesungguhnya aku terlalu cinta
kepada Allah dan Rasul-Nya..

Benar Allah..
Aku cinta, kasih dan rindu..
kepada-Mu dan Rasulku..
Dengan setulus jiwaku..
(meski masih ada ruang dan jurang!.. gigih ku usaha perbaiki tingkah dan langkah!)



Alhamdulillahirabbil 'alamin.
Wassalati wassalam 'alaasyrafil an'biya' iwal mursaliin.
Allahummassali ala Muhammad. Wa 'ala alihi waashabihi ajmaiin.

Tuesday, March 8, 2011

Dialog 2 : Kembalikan!.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Selepas perjumpaan dengan rakan-niaga, abang rehat di ruang tamu atas. Dengan wajah agak kelat dan pekat, terbit cerita perbualan dia dan rakan-niaganya.. Aku seperti biasa, menjadi pendengar setia..

Abang : Leen.

Aku: Ya.

Abang: Abang nak tanya Leen sesuatu nih.

Aku: Apa dia.

Abang : Leen rasa macam mana?. Kata-kata kawan abang tadi, buatkan abang terfikir, betul ka apa yang abang buat ni?. Atau Leen sebenarnya ada pandangan atau Leen ada nak cakap yang memang apa yang kawan abang cakap tu ada betulnya.

Aku: (menarik nafas panjang.. berkira-kira dengan ayat yang hendak dituturkan!). Apa pandangan Leen eh?. Abang nak pendapat yang macam mana? (aku senyum je.. hihihi)

Abang : Iya lah, apa-apa yang Leen rasa la.

Aku: Sebenarnya kan abang.. Salah soalan abang tu!.

Abang : Maksud Leen?

Aku: Sekarang ni, abang keliru. Abang confuse dengan diri abang dan dengan keputusan abang. Abang tak boleh tanya Leen, sebab bukan Leen penentu kehidupan abang.

(berpaling dari mengadap wajahnya – cuba menyeka gugup dan sebak – aku mesti kuat di saat suami hampir goyah!...)

Aku: Kalau abang tanya Leen, jawapan leen mungkin bias, berat sebelah. Leen mungkin akan suruh abang pilih mengikut kehendak dan citarasa Leen, sedangkan apa yang Leen hendakkan itu mungkin bukannya yang terbaik untuk abang, juga mungkin bukan yang terbaik untuk kehidupan kita, untuk masa depan kita juga tidak untuk kebaikan dalam agama pada diri kita. Mungkin juga, jalan yang Leen nak abang lalui itu tidak akan memberi manfaat kepada Abang atau kepada kita semua, hanya kepada Leen sahaja. Segalanya mungkin.

Abang : Habis tu?. Apa yang abang nak buat sekarang?.

(jelas kegusaran, kesedihan, kelelahan, kesangsian serta kebingungan merajai jiwanya, sehingga terbit di alur mata dan birai bibirnya..)

Aku: Abang. Kembalikan kepada Allah. Kembalikan semua rasa, semua resah, semua gundah, semuanya... kepada Allah. Sungguh!. Kembalikan semula kepada Allah. Bukan kepada Leen yang patut abang tanya, bukan juga kepada diri abang atau kepada sesiapa. Tanya kepada Yang Maha Agung, Maha Pencipta.. Yang Mengetahui serta Maha Sempurna. Tanya pada Allah. Dia takkan mengecewakan kita.

Abang : (diam).

Aku: Leen tahu abang confuse. Itu tandanya Allah dekat dengan abang. Kita kan yakin Allah itu sentiasa bersama kita. DIA dekat, malah lebih dekat dari urat nadi kita sendiri. Bukankah?. Leen sendiri jauh dari abang.. jarak 2 bangku kedudukan kita.. Maka, siapa yang lebih hampir???..

Abang : (diam lagi)

Aku: Abang jangan serabutkan kepala abang untukmencari jawapan. Sekarang ni, apa ada dalam fikiran abang?. Apa yang abang fikir abang nak buat? Apa pilihan yang abang ada?.

Abang : (ingin menjawab)

Aku: Nanti. Jangan bagitau Leen. Leen taknak tahu. Sebab itu mungkin akan mempengaruhi keputusan abang.. kekalau abang bagitau Leen tapi Leen mungkin tak setuju atau setuju.

Abang : Habis tu?

Aku : (tersenyum).. Macam ni bang.. (aku menarik nafas, menyusun ayat agar tidak ada yang terasa hati..)

Aku : Lepas isyak ni, abang berkhalwatlah dalam bilik tu.. rasai kehadiran Allah serta malaikat-malaikat-Nya. Kenangi Rasulullah yang merindui kita saban ketika. Rasakan dengan jiwa. Abang buatlah solat sunat taubat 2 rakaat, solat sunat hajat 2 rakaat, solat sunat istikharah 2 rakaat. Buat dengan sungguh-sungguh. Hayati setiap makna perkatan demi perkataan, ayat demi ayat terutamanya surah Al-Fatihah tu. Dan mohonlah petunjuk dan hidayah Allah. DIA memang menunggu kita untuk berdoa kepada-Nya kan?!. Maka itu, sujudlah dan minta lah pada Allah. Abang akan dapat jawapannya, tidak esok, lusa, takpun, bila-bila yang DIA akan bagi nanti..

Aku : Abang ingat tak ceramah Ustaz tu?. Katanya, kalau Allah tak bagi jawapan pada kita, bukan sebab DIA tak jawab pertanyaan kita, tapi sebab DIA nak bagi yang lebih baik untuk kita atau paling tidak, DIA simpan untuk bekalan akhirat kita.

(perlahan aku turun membawa anak-anak ke bawah... membiarkan suami menenangkan mindanya yang berserabut, jiwanya yang bercelaru...)

Allah, kami bersyukur dengan ujian-Mu.. kami tahu ENGKAU sayangkan kami.. ENGKAU perhatikan kami.. dan ENGKAU menanti doa kami..

Terima kasih Allah..

AKU SAYANG ALLAH...
AKU RINDU ALLAH...
AKU CINTA ALLAH..

Allahummassoli a'la Muhammad Wa'ala alihii wasahbihii ajma'iin.


Rabbi ad qilni mudqala sidqi.. wa aqh rijni muqhraja sidqhi.. waj’alli minlladu(n)ka sultthonan nasyyiira...

"Oh Tuhanku, masukkanlah aku daripada pintu kebenaran, dan keluarkanlah aku daripada pintu kebenaran juga, dan kurniakanlah bagiku daripada-Mu seorang penolong".


Friday, March 4, 2011

Puisi 4 : Wadah untuk Anak

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.


Anak
Ibu sediakan wadah ini untukmu
Jika nanti Ibu lupa, leka atau tidak lagi mampu
Menutur nada dengan madah
Menyampai hujah dengan khutbah
Membait ayat untuk ditarbiyah...
Maka ambillah setiap kisah ini
Yang Ibu susun dengan hati
dengan jemari yang menari tidak berhenti
Untuk kau isi di sudut sanubari
dalam menyelusuri aturan Illahi.



Laa illahailla anta Subhanaka inni kuntu minadzaalimiiin.


.

Thursday, March 3, 2011

Cereka Kanak-Kanak 1 : Anak Merbah yang Degil.

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.


Di dalam sebuah hutan rimba di hujung Kampung Setia, tinggal pelbagai jenis binatang di antaranya gajah, rusa, harimau, kancil, juga unggas-unggas. Terdapat juga pelbagai specis burung yang menarik. Ada burung merpati, burung merak, burung merbah, burung kelicap, burung pungguk, burung kenari, burung gagak dan banyak lagi.

Pada suatu pagi terdapat sekawan burung merbah sedang terbang mencari makanan. Mereka kemudiannya hinggap di pohon rang-rang sambil menikmati buah-buah rang-rang yang masak ranum.

Dalam pada mereka asyik menikmati buah rang-rang yang enak, seekor anak merbah bersuara, “Hey kawan-kawan, hampir setiap hari kita makan buah rang-rang ini. Tidakkah kalian rasa bosan dan ingin merasa makanan lain pula?”

Terkejut dengan pertanyaan itu, seekor merbah dewasa berkata, “Hai anak merbah, apakah yang kamu maksudkan?’.

Anak merbah menjawab, “Saya teringin hendak merasa makanan lain pula. Saya dengar ada sekawan burung gagak menceritakan bahawa mereka begitu gembira dapat memakan banyak gandum dan beras yang terdapat di kampung di luar sana itu. "

Mendengar perkataan anak merbah itu, si merbah dewasa sangat terkejut dan berkata, “Wahai anak merbah, jangan sesekali engkau berkeinginan untuk keluar daripada hutan ini. Sedangkan di dalam hutan ini lagikan kita kurang selamat dengan kehadiran pemburu, inikan pula engkau hendak keluar ke kampung yang lebih besar bahayanya daripada di dalam hutan ini”.

Anak merbah menjawab, “Tidak ada apa yang perlu ditakutkan. Saya lihat burung-burung gagak itu pergi dan pulang dengan selamatnya dan bahagia sekali. Jika mereka berjaya mengapa pulak kita tidak boleh?, Burung-burung gagak itu tidak pernah takut untuk keluar daripada hutan ini. Malah ada yang tinggal di kampung itu dengan bebas dan bahagia’, tukas si kecil itu.

Bersuara pula ibu si merbah kecil itu, “Jangan samakan kita dengan gagak. Gagak tidak disukai oleh manusia kerana isi mereka tidak boleh dimakan dan mereka tidak mempunyai kelebihan suara seperti kita. Manusia suka memburu kita kerana isi kita sedap dimakan dan suara kita boleh dipertandingkan. Faham!”, marah si ibu merbah.

“Tak faham”, balas anak merbah kecil itu dengan angkuhnya lalu terbang meninggalkan kawanannya.

Ibu si merbah kecil itu mengejar dan memanggil anaknya tetapi tidak diendahkan dan ia terus terbang jauh kedalam hutan dan menyembunyikan diri di balik rimbunan pepohon untuk mengelak diri dari dilihat ibunya.

Sehingga lewat tengahari, sekawanan merbah tadi mencari anak merbah yang hilang itu. Ibunya merasa sedih dan teramat bimbang akan keselamatan anaknya itu. Apatah lagi mengenangkan hasrat anaknya ingin keluar ke kampung merasa beras dan gandum. Setelah merasakan kumpulan merbah yang mencarinya sudah jauh daripada kawasan persembunyiannya, anak merbah keluar dari rimbunan pepohon dan terbang sendirian dengan hati yang riang.

Hari sudah lewat petang, semua binatang pulang ke tempat tinggal masing-masing. Burung-burung juga terbang untuk pulang ke sarang. Tetapi anak merbah yang degil ini terbang keluar ke arah kampung. Semakin lama semakin jauh meninggalkan hutan rimba. Hari sudah gelap, anak merbah tidak tahu dia berada di mana. Yang pastinya ia sudah jauh meninggalkan hutan. Ia berasa letih. Ia hinggap di satu tempat yang tidak diketahui apakah itu kerana yang pasti ia bukanlah dahan pokok. Ia cuba terbang tetapi tidak dapat. Kakinya tersekat tetapi dia tidak tahu apakah yang menyekat kakinya. Puas dia berusaha untuk melepaskan diri namun gagal. Akhirnya dia tertidur.

Keesokan paginya, ia terdengar bunyi yang sangat pelik. Riuh dan bising bunyinya. Ia cuba untuk melepaskan diri dari sangkutan yang menyekat kakinya, namun masih tidak berhasil.

“Mak, ayah, cepat mari tengok. Ada anak merbah tersangkut di jala kita.” jerit seorang budak lelaki.

Rupa-rupanya, anak merbah tadi sudah sampai ke kampung. Dia tersangkut di jala kepunyaan seorang nelayan. Ia menjadi takut dan berusaha untuk melepaskan diri. Tetapi sekali lagi, ia gagal.

“Wah, bagus betul. Anak merbah. Rezeki kita lah Abu. Boleh kita masuk pertandingan suara merbah hujung tahun nanti”, kata ayah kepada budak lelaki yang bernama Abu itu. Mereka kemudiannya mengeluarkan anak merbah daripada jala dan memasukkannya ke dalam sangkar buluh. Budak lelaki itu kemudiannya meletakkan secawan air, semangkuk kecil gandum dan semangkuk kecil beras ke dalam sangkar tersebut.

Anak merbah merasakan ia sudah terlepas daripada sangkutan itu berasa amat gembira apatah lagi apabila melihat gandum, beras dan air terhidang di hadapannya. Segera ia mematuk gandum dan beras dan memakannya sepuas-puasnya.

Anak merbah berasa bangga kerana ia tidak sangka perjalanannya untuk mencari gandum dan beras amat mudah. Ia berjanji untuk menceritakan perihal kejayaannya mendapatkan beras dan gandum dengan mudah kepada kumpulannya dan juga kumpulan kenari yang penakut dan pengecut itu.

Kerana terlalu gembira dan kenyang, iapun bersiul-siul dengan riang sambil berbuai di buaian buluh kecil yang tersangkut di sangkar itu. Ia begitu seronok dan tidak sabar untuk berkongsi kisah kejayaannya itu dengan kawan-kawannya.

Tengahari itu, anak merbah mula berasa bosan kerana asyik bergayut di buaian. Ia ingin pulang. Tetapi ia tidak dapat mencari jalan keluar. Ia cuba keluar melalui lubang-lubang buluh yang menyekatnya itu. Lama-lama ia keletihan. Barulah ia sedar bahawa ia telah terkurung di dalam sangkar.

Hari demi hari berlalu, anak burung merbah itu berasa amat bosan dengan kehidupannya sekarang. Meskipun ia diberi makanan gandum dan beras setiap hari, namun itu tidak lagi menjadi kegemarannya. Ia berasa begitu sedih dan kecewa.

Kini ia bersiul bukan kerana gembira tetapi kerana terpaksa. Setiap pagi, tengahari dan petang, ia terpaksa bersiul senyaring-nyaringnya untuk persiapan pertandingan. Ia berasa teramat dukacita kerana tidak lagi dapat terbang bebas dan tidak lagi dapat pulang ke sarangnya. Ia merindui kehidupan di hutan yang bebas. Ia merindui kawan-kawannya dan ia merindui ibunya. Ia pasti ibunya berasa amat risau akan dirinya. Ia teringat akan nasihat dan teguran daripada merbah dewasa dan juga kawanan kenari. Namun apakan daya, ia sudah tidak mampu berbuat apa-apa.

Tinggallah ia di dalam sangkar buluh itu. Apa yang pasti, ia tidak tahu apa yang akan terjadi pada dirinya apabila besar kelak. Ia menjadi takut dan bimbang akan nasib dirinya. Apakah ia akan terus berada di dalam sangkar ini menunggu hingga akhir nafas atau akan mati dimakan oleh manusia.

PENGAJARAN.

1) Mereka yang degil dan tidak mendengar nasihat, akan memusnahkan diri sendiri.
2) Nasihat dan teguran orang adalah kerana mereka sayangkan kita, dan tidak ingin nasib yang tidak baik menimpa kita.
3) Belajar menerima teguran dan nasihat daripada orang lain.
4) Orang yang tidak ditegur atau tidak ada sesiapa yang menasihatinya adalah orang yang rugi. Kerana dirinya tidak disayangi.
5) Allah benci orang yang degil. Kesudahan yang buruk adalah bagi mereka yang tidak mematuhi nasihat.


Subhanallah. Walhamdulillah. Walaillahaillallah. Allahu Akhbar.

Wednesday, March 2, 2011

Puisi 3: Lelah berhelah.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.


Pabila lelah
Jiwa sungguh resah
Kelibat gelisah, menerjah!.
Bermain syaitan menganggu angan dan fikir
diri leka umpama fakir
yang terlupa zikir.

Termanggu di birai sendu
mencari arah, jawapan dan jalan tuju
dengan tekad cahaya diburu
tetapi sesekali tersadung nafsu
ketika menempuh jalan buntu
lalu terkulai layu, iman pun lesu..

Panjang akal mencari helah
Untuk melangkah gagah
dengan suara meyakinkan
dengan doa dan pengharapan
menginginkan keajaiban

Penipunya diri
Ketika katanya meyakini kalimah suci
sedang di hati berteka-teki
mengharap sinar bertamu
sedangkan tahu belum tiba waktu!.


Allahu.

.

Tuesday, March 1, 2011

Monolog Diri 2: KAU tahu.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.


Ya.
Bumi mana yang tidak ditimpa hujan?
Lautan mana yang tidak bergelora?
Manusia mana yang dicipta sempurna, tanpa ujian?
Insan mana yang hidupnya indah, tiada nestapa?

Meski dalam lakonan wayangpun, kita dihidangkan dengan genre drama dan filem yang pelbagai skrip lakon layarnya. Walau dalan cerita kartun itupon, ada saat susah atau payah yang dilalui oleh watak-wataknya. Begitu juga manusia.

Dan!.
Aku inikan manusia. Bukan malaikat yang tidak berjantina. Bukan jin yang tidak dilihatkan di alam nyata. Aku insan yang Allah jadikan serupa dengan dia dan mereka. Daripada titis air mani ayah bersatu di dalam rahim ibu, membesar dalam kantung yang tiada corong atau lubang udara, tetap aku membesar dengan sempurna anggota!.

Nah!. Indahkan ciptaan Illahi. Pada yang sangsi, apa lagi yang kalian cari?!.
Tapi, bukan itu bualan bicara aku di sini. Aku tidak memperkatakan tentang kamu, kamu dan kamu. Tidak juga tentang dia dan mereka itu. Aku berbahasa tentang aku. Ya, tentang aku sendiri!.

Aku membait ayat inspirasi. Agar aku kuat dan menapak kemas berhadapan warna-warna kehidupan. Aku menulis untuk aku ingatkan pada jiwa yang bergelora bahawa dalam apa juga rencana, Allah itu ada bersama. Itu yang aku cuba yakini, dengan sesungguhnya, dengan sebenarnya. Dan aku akui, ia terhasil dalam diri, keyakinan jitu tanpa belah bahagi.

Namun, sesekali menyelak tabir hati sambil menatap cermin diri, kenapa aku lihat dua watak yang berbeza?. Watak dalaman yang kental, tetapi luaran yang goyah?. Jiwa yang utuh tetapi insan yang rapuh?. Di mana sebenarnya akalku berlabuh?

Senang, tenang dan lancar lidahku berbicara.. lagipula untuk memberi kalimah percuma..
Laju.. tanpa skrip yang diperlu direka dahulu..

Sebegitu bersahaja aku menasihati orang, lantas mempraktikkan ke atas diriku. Tetapi, rasanya, adalah lebih senang mendengar cerita orang daripada cerita sendiri. Kisah orang didengar dan difahami, kisah sendiri bagaikan berduri. Bukankah?. Adakalanya jatuh rasa cemburu, apabila mereka ada aku untuk berpahat erat, sedangkan aku sendiri, hanya berpaut pada keyakinan yang kuat, Allah bersamaku!.

Ya Allah.. ampuni aku yang jahil. Aku butuh bantuan dari-Mu. Kekuatan dalam berhadapan cabaran dan godaan nafsu. Aku tidak mahu menipu. Kerana hujung jawapannya yang aku tipu adalah KAMU Ya Rabb.

Allah.. aku tahu Engkau tahu. Engkau tidak pernah jauh seperti janji-Mu. Engkau dekat lebih dekat dari urat nadiku. Ketika mataku melirik, lidahku bergerak, hatiku berdetik, Kau tahu segala makna tersurat dengan segala tafsir.

Pabila tanganku tidak kuat menadah berdoa, lidahku tidak lagi lancar berbunga bahasa, sujudku takut dan malu menyuara hasrat, aku tahu Kau tahu yang tersirat..

Apabila suara bibirku tiba-tiba menjadi bisu. Ya Rahman Ya Rahiim, dengarlah rintihan sanubariku, hatiku tidak menipu-Mu wahai Yang Maha Agung. Kau tahu itu. Bantulah aku yang mengharap sinar dan petunjuk, hanya dari-Mu.. atas rahmat, belas dan ehsan-Mu.

Bismillahi tawakaltu 'Alallah..
.